PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan mengkaji keperluan untuk mengeluarkan sijil pentauliahan kepada penterjemah bahasa isyarat bagi membolehkan golongan itu berkhidmat sebagai jurulatih bertauliah, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Sim berkata agensi di bawah KESUMA iaitu Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) akan dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan sijil itu kepada mereka yang berkemahiran dalam bahasa isyarat termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).
“Saya ada berjumpa dengan Persatuan Penterjemah Bahasa Isyarat Malaysia baru-baru ini, mereka telah maklumkan kepada saya tentang beberapa kesukaran yang dihadapi, antaranya dari segi suasana kerja, perlindungan, kesedaran dan hak pekerja termasuk peluang untuk menjadi jurulatih.
“… dan antara perkara yang saya setuju ialah bagaimana kita boleh mentauliahkan penterjemah bahasa isyarat sebagai jurulatih. Jadi, saya menyeru supaya sekurang-kurangnya kita mula dengan HRD Corp agar mereka mempunyai satu sistem untuk mentauliahkan jurulatih penterjemah bahasa isyarat termasuk golongan OKU,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KESUMA dan Prapelancaran Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Sim berkata pentauliahan itu juga akan meningkatkan keyakinan agensi swasta atau agensi kerajaan untuk menggunakan khidmat golongan berkenaan di agensi masing-masing.
“Sebab ini memang satu industri atau sektor untuk penterjemah ini, mereka juga digaji atau dijemput oleh syarikat-syarikat sama ada swasta atau agensi dan jabatan kerajaan untuk membuat penterjemahan (bahasa isyarat),” katanya.
Beliau berkata keperluan itu antara misi strategik 3K (kebajikan, kemahiran dan keberhasilan) bagi mengangkat martabat pekerja di negara ini.
“Maksudnya semua pekerja tidak kira apa sahaja isu, sama ada kekurangan fizikal dan sebagainya. Kami mahu memastikan semua pekerja dijaga,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial