Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
TAPAH, 17 April (Bernama) -- Berhasrat untuk membantu keluarga, tiga suri rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mengambil langkah untuk menceburi bidang keusahawanan demi membina masa depan yang lebih baik.
Impian mereka kini menjadi kenyataan melalui sokongan program pembangunan komuniti anjuran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Ayer Kuning.
Seorang peniaga makanan Nurrul Hidayah Abd Rahim, 38, berkata penyertaannya dalam pelbagai program latihan dan kursus anjuran NADI sejak setahun lalu, banyak mengubah kehidupannya daripada seorang suri rumah kepada pemilik kedai makanan yang semakin berkembang.
Menurut Nurrul Hidayah, input yang diperoleh melalui kelas pengurusan perniagaan, teknik pemasaran, pengiraan untung rugi, serta penggunaan media sosial untuk promosi telah dipraktikkan sebaik mungkin dalam perniagaannya.
"Saya bermula dengan menjual tiga jenis makanan iaitu nasi lemak, mi goreng dan mi sup pada tahun lepas, tetapi kini saya sudah mempunyai hampir 20 menu termasuk ayam goreng berempah, bakso serta laksa,” katanya kepada Bernama, sambil menambah bahawa dia kini mampu menggajikan tiga pekerja.
Ibu tiga anak itu berkata promosi secara langsung oleh pihak NADI serta penyertaan dalam acara komuniti juga banyak membantu memperkenalkan kedainya kepada pelanggan baharu.
“Kewujudan NADI di kawasan penempatan kami juga memudahkan urusan menguruskan keluarga... hari ini, suri rumah mampu menyumbang kepada ekonomi keluarga,” katanya.
Peniaga roti kecil-kecilan, Nurfarihin Bakar, 35, mula menyertai program pembelajaran sepanjang hayat, Mahir Masak sejak Disember tahun lepas untuk menambah ilmu serta kreativiti dalam bidang masakan.
“Saya memang sejak dulu berhasrat berniaga dan belajar buat pastri, tetapi tugas sebagai suri rumah membataskan keinginan itu. Namun, NADI memberikan peluang kerana kelas yang ditawarkan sangat fleksibel dan ikut masa lapang saya,” katanya.
Beliau berkata program yang berlangsung seminggu sekali itu dijangka tamat pada Mei ini dan para peserta akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Satu, menjadikannya pencapaian bermakna walaupun sibuk dengan urusan rumah tangga.
Bagi Sur'aatun Shazaa Shafaruddin, 39, penyertaannya dalam program Mahir Masak dan Mahir Baiki Gajet bukan sahaja memberi pengalaman baharu, malah membolehkannya menjana pendapatan sendiri.
“Pada mulanya saya sertai program ini sekadar suka-suka, tetapi kini saya mampu menerima tempahan nasi lemak, sekali gus bantu ringankan beban suami.
"Untuk baiki gajet, saya masih belum yakin, tetapi sekurang-kurangnya sudah tahu tukar bateri telefon sendiri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial