WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA, INDONESIA PERKUKUH SEKTOR PENDIDIKAN BERKAITAN TVET

21/04/2025 08:03 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 21 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan komitmen Malaysia untuk memperluas kerjasama pendidikan dengan Indonesia khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau menyaksikan pertukaran dua Surat Hasrat (LOI) antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan Pemerintah Wilayah Jakarta dan Sumatera Barat serta satu lagi antara Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) dan Gabenor Wilayah Sumatera Barat Mahyeldi Ansharullah.

Inisiatif ini bertujuan mempromosikan TVET dan program teknikal lain kepada pelajar Indonesia sejajar dengan hasrat Malaysia untuk memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal di rantau ini.

“Kita mahu berkongsi peluang dan membuka sistem pendidikan teknikal kita kepada lebih ramai pelajar Indonesia,” katanya kepada media selepas majlis pertukaran LOI itu di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata pendidikan di Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta sejajar dengan sistem pendidikan negara Komanwel menawarkan pengajaran dwibahasa dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di enam universiti di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia yang mengkhusus dalam bidang kejuruteraan serta teknikal.

Beliau berkata ini akan menjadi kelebihan kepada pelajar yang mencari pendedahan di peringkat antarabangsa.

Ahmad Zahid turut menggesa UniKL, sebagai sebuah institusi milik MARA, terus memperluas capaian antarabangsa dengan menerima lebih ramai pelajar dari Indonesia dan mengimbangi 11,000 pelajar negara itu di Malaysia berbanding hanya lebih 2,000 pelajar Malaysia di Indonesia.

Beliau berkata justeru itu, Malaysia merancang menghantar lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian di Institut Teknologi Bandung yang berprestij di Indonesia terutama dalam bidang pertanian.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan rasmi ke Indonesia selama tiga hari yang berakhir esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan