GEORGE TOWN, 21 April (Bernama) -- Pulau Pinang mempunyai potensi dan tanggungjawab untuk muncul sebagai hab pendidikan serantau, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata hasrat itu berdasarkan kepada kewujudan beberapa institusi pendidikan negeri seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) serta ekosistem Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negeri ini.
Beliau berkata asas itu diperkukuh dengan kerjasama rapat industri-akademia selama beberapa dekad dengan gergasi industri Intel, AMD, Bosch dan lain-lain.
"Marilah kita jadikan Pulau Pinang sebagai tempat ujian utk pensijilan kemahiran merentas sempadan, khususnya dalam bidang teknologi hijau, robotik dan reka bentuk cip dengan industri kita semakin berkembang aktif.
"Penjajaran akademia-industri yang lebih kukuh akan menjadi kunci kepada kurikulum yang relevan dan kebolehpasaran siswazah. Saya menggalakkan lebih banyak firma serantau untuk melabur bersama dalam akademi latihan, latihan amali dan makmal inovasi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Memperkasakan Pendidikan 2025: Membentuk Masa Depan ASEAN menerusi Kemahiran dan Inovasi di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Pada masa sama, Chow turut menggesa peningkatan pembelajaran yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI), platform digital dan kelayakan blok rantai.
"Pulau Pinang mengalu-alukan perkongsian di bawah EduTech Accelerator Programme Malaysia untuk merintis dan membangunkan instrumen terbabit," katanya.
Beliau juga menyeru kerjasama dalam program pertukaran pelajar, dwiijazah dan akses digital untuk komuniti berkaitan.
"Biar Pulau Pinang menjadi jambatan mobiliti dalam ASEAN. Kami mengundang rakan kongsi untuk meneroka pusat penyelidikan bersama di Pulau Pinang yang tertumpu kepada semikonduktor, kemampanan dan inovasi digital, memanfaatkan Dana Inovasi ASEAN serta ekosistem penyelidikan dan pembangunan negeri," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial