JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- Dua beradik maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima di lampu isyarat Simpang Empat Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 9.50 malam ketika mangsa, penunggang lelaki berusia 15 tahun dan kakaknya yang berusia 20 tahun dari arah Jalan Ledang menghala ke Felda Ulu Tebrau.
Beliau berkata apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal jenis Honda itu dipercayai telah membelok ke arah kanan dengan mengabaikan lampu isyarat merah ketika itu.
"Pada masa sama, sebuah Toyota Estima dipandu lelaki berumur 40 tahun yang sedang bergerak terus kerana lampu isyarat hijau tidak sempat mengelak dan terlanggar sebelah kanan motosikal itu sehingga menyebabkan penunggang dan pembonceng berkenaan tercampak ke laluan bertentangan.
"Akibat daripada pelanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sohaimi berkata penunggang motosikal terbabit tidak mempunyai lesen dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Kita juga ingin menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan kod lalu lintas serta sentiasa berhemah dan mematuhi lampu isyarat.
"Sebarang maklumat daripada saksi kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis melalui talian 07-3864222 bagi membantu siasatan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial