WILAYAH - TIMUR > BERITA

BADRUL HARAP KEKAL KEMUDI TFC MUSIM DEPAN

21/04/2025 11:37 AM

KUALA NERUS, 21 April (Bernama) -- Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali menyatakan minat untuk terus membimbing pasukan itu selain dapat menyumbang bakti kepada industri bola sepak di negeri itu.

Beliau berkata setakat ini masih belum menerima sebarang tawaran daripada pihak pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) atau pasukan lain yang berminat mendapatkan khidmatnya.

"Saya orang Terengganu... jika diberikan peluang sudah pasti saya bersedia untuk membimbing skuad Penyu.

"Sepanjang tujuh bulan memikul tugas sebagai ketua jurulatih, saya berpuas hati dengan pencapaian sendiri dan akan berusaha memberi yang terbaik jika dipilih menerajui pasukan musim depan," katanya selepas perlawanan terakhir Liga Super 2024/2025 menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi. 

Pada perlawanan malam tadi, TFC mengutip mata penuh selepas menewaskan KDA FC 3-0 dengan gol dijaringkan oleh Safawi Rasid pada minit ke-49, Muhammad Ubaidillah Shamsul Fazili ('74) dan Nurillo Tukhtasinov ('90).

Sementara itu, pengendali KDA FC Victor Andrag merakamkan ucapan penghargaan kepada semua peminat Sang Kenari yang setia menyokong pasukan itu dari awal hingga akhir musim.

Menurut Victor, walaupun menamatkan saingan Liga Super di kedudukan tiga tercorot, semua penyokong masih berharap agar pasukan Kedah kekal beraksi musim depan. 

"Bukan saya seorang tetapi semua rakyat Kedah dan ramai lagi pihak yang berharap skuad Hijau Kuning  dapat berada di Liga Super musim depan.

"Kita masih ada lebih kurang 10 hari sebelum tarikh yang Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tetapkan. Tetapi saya tak pasti apa sedang berlaku...kita masih tunggu," katanya.

KDA FC dan Sri Pahang FC dijangka tidak beraksi di pentas Liga Malaysia 2025/2026 disebabkan masalah luar padang termasuk pembayaran gaji.

Kekosongan tersebut bakal diisi Melaka FC dan Brunei DPMM FC yang kali terakhir beraksi di Liga Super 17 tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan