WILAYAH - TIMUR > BERITA

USM TUBUH PUSAT PAKAR KLINIKAL DAN PENYELIDIKAN KANSER, RAWAT LIMA JENIS KANSER UTAMA

20/04/2025 05:16 PM

KOTA BHARU, 20 April (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) menubuhkan Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Bertam Indah, di Kepala Batas, Pulau Pinang bagi merawat lima jenis kanser utama.

Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata pusat yang diwujudkan sejak tahun lepas itu menumpukan rawatan terhadap kanser payudara, kulit, serviks, hati dan lidah.

Beliau berkata setakat ini pusat berkenaan telah menerima lebih 8,000 pesakit, termasuk dari Sabah dan Sarawak sekali gus membuktikan keberkesanan serta kepercayaan terhadap kepakaran dan kemudahan rawatan yang ditawarkan.

“Seiring peningkatan kes kanser setiap tahun, pusat ini berperanan penting dalam menawarkan rawatan berkualiti kepada pesakit. Sebagai contoh, bagi rawatan kanser lidah, USM merupakan satu-satunya pusat di Asia Tenggara yang menawarkan kaedah penyembuhan tanpa perlu memotong lidah iaitu menggunakan teknologi radioterapi.

“Lebih 50 pesakit berjaya sembuh menerusi kaedah ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Gala Aidilfitri Kampus Kesihatan USM di Kubang Kerian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Rahman berkata pusat itu turut menerima peruntukan RM73 juta daripada Kementerian Pendidikan Tinggi tahun ini bagi meningkatkan fasiliti sedia ada.

“Dana tersebut digunakan untuk pembelian peralatan rawatan kanser terkini dan penambahan 25 katil pesakit di wad,” katanya.

Beliau berkata fokus utama ketika ini adalah merawat lima jenis kanser berkenaan sebelum diperluaskan kepada kanser lain berdasarkan keperluan serta kemampuan peralatan rawatan khusus.

“Pusat ini mempunyai sekitar lima doktor pakar onkologi dan turut mendapat sokongan daripada pakar perubatan USM Kubang Kerian serta Kementerian Kesihatan bagi memastikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan