WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TOURISM MALAYSIA SASAR 45 JUTA PELAWAT TAHUN INI - KETUA PENGARAH

20/04/2025 02:52 PM

KOTA BHARU, 20 April (Bernama) -- Tourism Malaysia menyasarkan seramai 45 juta pelawat ke negara ini bagi merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Ketua Pengarahnya Datuk Manoharan Periasamy berkata sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan jumlah ketibaan pelawat ke Malaysia yang melebihi 38 juta orang pada tahun lepas.

“Untuk rekod, jumlah pelawat ke Malaysia sehingga Februari tahun ini meningkat sebanyak 31.3 peratus, iaitu 6.7 juta orang berbanding 5.1 juta orang dalam tempoh sama tahun lalu, dengan penyumbang utama ialah pelawat dari Singapura, China dan India.

“Melihat kepada trend ketibaan pelancong ini, kami amat optimis untuk mencapai sasaran 45 juta pelawat, dan ia bukan sesuatu yang mustahil. Bagi merealisasikan sasaran ini, kerjasama daripada semua pemain industri termasuk pengusaha produk pelancongan dan kerajaan negeri amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama Penggiat Industri Pelancongan Kelantan di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md Nor.

Mengulas lanjut mengenai sesi libat urus tersebut, Manoharan berkata ia bertujuan memberi pendedahan menyeluruh mengenai inisiatif dan peluang yang ditawarkan oleh Tourism Malaysia serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kepada penggiat industri pelancongan di Kelantan dalam usaha menyokong agenda nasional ke arah kejayaan TMM2026.

"Antara inisiatif utama yang dikongsi dalam sesi tersebut termasuk Geran Sektor Penerbangan dan Charter (GSPC), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), Galakan Melancong (GAMELAN) serta Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK)," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama erat dengan semua pemain industri pelancongan di negeri masing-masing serta membantu mereka untuk mempromosikan produk atau sebarang aktiviti kebudayaan dan kesenian yang dianjurkan.

"Kami dapati Kelantan dan Negeri Sembilan antara negeri yang kurang aktif memohon geran untuk memasarkan industri pelancongan di negeri mereka berbanding Selangor, Sabah, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Oleh itu, kami berharap pemain industri mengambil peluang ini untuk memohon bantuan, skim atau geran yang disediakan kerajaan bagi mempergiat aktiviti promosi pelancongan di negeri mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan