JITRA, 19 April (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan melaksanakan kutipan data di lapangan bagi Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) ke-3 bermula 28 April ini di seluruh negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Ruji Ubi berkata proses kutipan data itu akan dijalankan secara bersemuka dengan menggunakan Borang Soal Selidik dari rumah ke rumah berdasarkan kepada peta Blok Perhitungan dan Tempat Kediaman yang ditetapkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Berdasarkan dapatan kajian, skor IPNas pada 2018 ialah 0.576 manakala skor IPNas pada 2022 ialah 0.629 dan KPN menyasarkan skor 0.7 pada tahun ini.
“KPN berharap rakyat Malaysia dapat memberikan kerjasama penuh kepada para penyelidik di lapangan bagi mendapatkan data berkaitan kajian ini,” katanya selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kedah Ahmad Puat Haji Junus.
IPNas merupakan satu-satunya indeks pengukuran tahap perpaduan yang diguna pakai oleh kerajaan bagi melihat kedudukan semasa perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sementara itu, Kedah menjadi negeri kedua lokasi sambutan selepas Melaka pada 4-5 April lepas manakala Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi perasmian SMP peringkat kebangsaan pada 16 hingga 20 Julai ini.
SMP adalah program di bawah kerangka Kembara Perpaduan Malaysia MADANI bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan serta menyebar luas pengetahuan, kefahaman, dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat serta budaya dalam kalangan masyarakat Malaysia seiring dengan aspirasi dan nilai MADANI iaitu Hormat.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti Rumah KAMI (rumah etnik), jualan FoodUnites, Karnival Sukan Rakyat, ‘Fun Walk’ Baju Tradisi, Bicara Perpaduan, Persembahan Silang Budaya, Karnival Ekonomi KRT, Tayangan Wayang Pacak, Pameran Wajah-Wajah Perpaduan serta pameran daripada jabatan dan agensi kerajaan bermula 17 April lepas hingga hari ini.
Terdahulu, Ruji merasmikan Program Jejak Harmoni Bersama Warga Emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Alor Setar serta menyampaikan Bakul Harmoni kepada 30 warga emas.
Program tersebut sebagai usaha menyebarkan mesej keharmonian antara rakyat berbilang bangsa dan agama ke arah memperkukuhkan hubungan kebersamaan dan keharmonian negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial