PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan atas komitmen kukuh yang ditunjukkan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan pemimpin Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar Mahn Win Khaing Than terhadap bantuan kemanusiaan dan usaha pemulihan di negara itu.
"Semangat SAC dan NUG menunjukkan bahawa keutamaan harus diberikan kepada usaha kemanusiaan, pembinaan semula, sementara mereka melakukan apa sahaja yang perlu bagi mengelakkan pertempuran berlanjutan.
"Jadi, saya mengambil semangat itu. Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada mereka, terutamanya SAC yang memberikan pendirian tegas untuk memastikan pasukan kita, masyarakat sivil dan tentera yang memberikan bantuan akan diberikan jaminan jelas bahawa misi ini akan berlangsung dengan aman," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin (daripada SAC dan NUG) berikrar untuk melanjutkan gencatan senjata di negara itu dan memastikan keselamatan para petugas kemanusiaan susulan gempa bumi dahsyat pada bulan lepas.
Anwar berkata pemimpin berkenaan memberikan jaminan dalam perbincangan berasingan beliau dengan kedua-dua pihak semasa lawatan kerja ke Thailand.
Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan secara maya dengan Mahn Win Khaing Than untuk membincangkan keperluan kemanusiaan Myanmar yang semakin mendesak.
Media Myanmar melaporkan kerajaan tentera telah memberikan pengampunan kepada hampir 4,900 banduan bersempena dengan Tahun Baharu tradisional negara itu. Sebuah badan pemantau bebas memaklumkan sekurang-kurangnya 22 daripada banduan yang dibebaskan itu merupakan tahanan politik.
Dua hari selepas gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda Myanmar pada 28 Mac, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dikerahkan ke Naypidaw di bawah Operasi Starlight III untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat serta menyerahkan bantuan.
Jabatan Meteorologi dan Hidrologi Myanmar melaporkan 109 gempa susulan sejak kejadian pertama, termasuk gegaran sekuat 6.4 magnitud.
Dianggarkan sembilan juta orang termasuk 2.7 juta kanak-kanak, terjejas teruk di 58 bandar di kawasan Bago Timur, Kayin, Magway, Mandalay, Nay Pyi Taw, Shan Selatan and Sagaing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial