WILAYAH - UTARA > BERITA

PERUNTUKAN RM61 JUTA BAGI PROJEK HAKISAN PANTAI BATU FERRINGHI - AKMAL NASRULLAH

17/04/2025 07:13 PM

GEORGE TOWN, 17 April (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM61 juta bagi kerja-kerja pengawalan hakisan pantai di Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah, dekat sini berikutan masalah hakisan yang semakin teruk. 

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata projek melibatkan jajaran pantai sejauh tujuh kilometer dari Batu Ferringhi ke Tanjung Bungah itu dijangka bermula tahun ini dan siap dalam tempoh enam tahun.

"Reka bentuk projek itu akan dimuktamadkan tahun ini yang akan merangkumi penyelesaian seperti pemecah ombak, pasir dan langkah-langkah tebatan lain untuk menstabilkan kawasan serta melindungi pantai.

"Projek itu akan memberi tumpuan kepada perlindungan segera dan pemeliharaan jangka panjang dengan tumpuan khusus untuk mengekalkan tarikan pantai sebagai destinasi pelancongan dan tempat rekreasi," katanya kepada pemberita selepas meninjau hakisan pantai di Pangkalan Nelayan Pantai Paramount, di sini hari ini.

Terdahulu, Akmal Nasrullah yang dalam lawatan kerja ke Kedah dan Pulau Pinang turut meninjau kawasan hakisan pantai di Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah.

Pada 2 April lepas, Bernama melaporkan Batu Ferringhi dilanda masalah hakisan yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini, sekali gus memberi kesan buruk kepada keindahan kawasan itu dan tinjauan mendapati beg pasir yang digunakan sebagai benteng pemecah ombak berselerak di sepanjang pesisir pantai.

Akmal Nasrullah berkata dapatan yang dikumpul pihaknya berdasarkan tinjauan di Batu Ferringhi antaranya untuk menilai hakisan pantai dan konsep reka bentuk projek termasuk mengambil kira keselamatan pantai dengan menitikberatkan ia sebagai kawasan pelancongan serta rekreasi.

 “Reka bentuk projek itu akan mengutamakan keselamatan pantai, memastikan hakisan diuruskan di samping tidak mengganggu status sebagai tempat pelancongan utama. Ia juga bagi memastikan tidak mengurangkan daya tarikan kawasan terbabit untuk pengunjung dengan garis panduan khusus disediakan bagi mengelakkan longgokan batu yang boleh menghalang tarikan pantai,” katanya.

Beliau berkata pelan kerja-kerja pengawalan termasuk penilaian aliran sungai dari tiga sungai di kawasan itu iaitu Sungai Mas, Sungai Kechil dan Sungai Kelian, yang menjadi antara penyumbang kepada hakisan di kawasan itu.

Projek itu, katanya dijangka mampu mewujudkan keadaan pesisiran pantai yang lebih lestari, selamat dan bersih sekali gus meningkatkan ekopelancongan negeri selain dapat meningkatkan kelancaran pengaliran air sungai ke laut menerusi pembinaan betung alur keluar.

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata hakisan di Pantai Paramount telah berlaku dalam jarak dua meter dari pantai dan sepanjang satu kilometer di pesisir pantai yang turut mengakibatkan kerosakan membabitkan struktur lantai bangsal.

Justeru, katanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang telah memohon projek pembinaan struktur mencegah hakisan pantai di kawasan itu dalam permohonan projek bagi Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dan kementeriannya sedang mengkaji cadangan pelaksanaan projek itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan