PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menganjurkan majlis makan malam bersempena lawatan negara Presiden China Xi Jinping di Seri Perdana di sini.
Jamuan itu menyusuli pertemuan antara Anwar dan Xi, yang menyaksikan kedua-dua pemimpin membincangkan kerjasama dua hala selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran 31 Memorandum Persefahaman, Perjanjian serta Nota antara Malaysia dan China.
Pada majlis itu, Xi dan Anwar menyampaikan ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan.
Antara kenamaan yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Hadir sama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Terdahulu, Xi telah diberikan majlis sambutan negara disusuli sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Sultan Ibrahim juga berkenan menganjurkan Jamuan Negara sebagai penghormatan kepada Xi dan delegasi beliau.
Lawatan negara tiga hari Xi ke Malaysia bermula semalam atas undangan Sultan Ibrahim.
Ini merupakan lawatan rasmi kedua pemimpin China itu ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun selepas kunjungan terakhir beliau pada 2013, yang menyaksikan kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Lawatan Xi adalah sebahagian daripada siri Lawatan Negara pertama Presiden China itu tahun ini yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.
Malaysia dan China mewujudkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974.
Kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lepas.
Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia dengan nilai dagangan antara kedua-dua negara RM484.12 bilion pada 2024, yang mewakili 16.8 peratus jumlah perdagangan global Malaysia (RM2.88 trilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial