WILAYAH - TENGAH > BERITA

AGROBANK TAJA RM416,500 BIASISWA MADANI KEPADA 10 PELAJAR CEMERLANG DI INSTITUSI AWAM

15/04/2025 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bank Pertanian Malaysia Bhd (Agrobank) telah menganugerahkan Biasiswa MADANI bernilai RM416,500 kepada 10 pelajar cemerlang yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pada tahun 2024, Agrobank telah menyalurkan lebih RM10.44 bilion, yang membuktikan komitmen dan keupayaan institusi ini dalam menyokong rantaian bekalan makanan negara.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pengurusan dan seluruh warga kerja Agrobank atas usaha berterusan dalam menyediakan akses kewangan yang menyeluruh, inklusif dan mampan kepada pertumbuhan petani, nelayan dan penternak.

“Inisiatif Biasiswa Madani Agrobank yang dilancarkan hari ini, merupakan satu pelaburan strategik dalam membina masa depan generasi yang bakal mewarisi sektor pertanian negara,” katanya semasa Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Agrobank dan Pelancaran Transformasi Penjenamaan Agrobank. 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata penerima Biasiswa Madani Agrobank yang diumumkan hari ini, termasuk anak-anak petani dan golongan daripada kategori B40.

Beliau berkata usaha itu selaras dengan misi bank untuk memperkasakan keperluan komuniti yang tidak mendapat perkhidmatan mencukupi serta kurang mendapat perhatian.

“Melalui pelaburan dalam bidang pendidikan, Agrobank memperlihatkan komitmennya dalam menyokong komuniti yang kurang diberi perhatian, seterusnya memastikan peluang untuk kemajuan tidak lagi terbatas oleh faktor geografi mahupun kewangan.

“Ini menyumbang ke arah sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan saksama yang seterusnya mewujudkan impak jangka panjang, terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi,” katanya.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata Agrobank telah menyediakan bantuan kewangan kepada 54 pelajar terpilih yang memenuhi kriteria kelayakan dan menunjukkan rekod akademik yang cemerlang sejak 2013. 

Beliau berkata kebanyakan graduan penerima biasiswa Agrobank, telah menyertai bank itu sebagai kakitangan, menjalani latihan pengurusan yang merangkumi semua aspek perbankan dan dihantar berkhidmat di cawangan Agrobank di luar bandar.

“Justeru itu, biasiswa ini memastikan mereka dapat merealisasikan aspirasi kerjaya tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.

“Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Agrobank terhadap tanggungjawab sosial korporat, malah merupakan pelaburan strategik dalam melahirkan bakat muda yang berpotensi menyertai Young Talent Program (YTP) Agrobank bagi mencungkil bakat kepimpinan mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan