KUALA TERENGGANU, 14 April (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah Kerajaan Negeri perlu memperkukuh hubungan serta mempererat jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan yang berkesan.
Baginda bertitah ia juga bagi menjamin kesejahteraan masyarakat serta memacu pertumbuhan ekonomi.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan RM13.56 bilion menerusi kelulusan 408 projek pembangunan di Terengganu sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Pelaksanaan projek itu memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat Terengganu, termasuk mempertingkatkan kemudahan infrastruktur serta memperkukuh daya saing komuniti secara menyeluruh.
"Justeru, Beta menyarankan agar Kerajaan Negeri terus memperhebat usaha serta merangka perancangan yang lebih strategik bagi memastikan setiap projek di bawah RMK13 dapat dilaksanakan dengan jayanya.
"Bagi merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Negeri perlu memperkukuh hubungan serta mempererat jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksaan dasar dan inisiatif pembangunan yang berkesan," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut berkenan berangkat ke istiadat tersebut ialah Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.
Sementara itu Sultan Mizan juga bertitah Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 telah membuka ruang luas untuk Terengganu mempromosi keindahan serta keunikan sektor pelancongan kepada pelancong dan delegasi antarabangsa.
Baginda juga yakin penganjuran Cycling Tour (ASEAN Solidarity) 2025 di bawah kluster ASEAN Social Cultural Community pada Ogos mampu mengangkat Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama Malaysia serta memperkukuh kerjasama serantau.
Baginda bertitah Terengganu juga telah merekodkan pencapaian cemerlang pada 2024 apabila mencatatkan kehadiran 7.8 juta pelancong, mengatasi sasaran asal 4.5 juta.
Sultan Mizan turut menyarankan Terengganu memberi tumpuan terhadap pengukuhan pertanian dan industri asas tani melalui pelancaran Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030, dengan projek pertanian berskala komersial dengan pelbagai tanaman komoditi perlu dipergiatkan.
Baginda turut mencadangkan kerajaan negeri terus proaktif mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan di peringkat global dalam usaha memperluas industri teknologi hijau, sekali gus mengukuhkan pemilikan kapasiti solar beroperasi melebihi 333 Megawatt peak (MWp), dengan pelaburan yang diterima mencecah RM1 bilion melibatkan 14 syarikat pelabur, setakat Disember 2024.
Sementara itu Sultan Mizan menyeru kerajan negeri Terengganu menggandakan usaha menarik lebih ramai pelabur untuk meneroka potensi besar negeri itu, mengambil kira kapasiti pengendalian kargo di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman yang sedang dipertingkat melalui pemasangan kren secara berperingkat.
"Beta berharap dengan pembinaan dermaga yang lebih luas, kelengkapan yang dipertingkat, serta sambungan rel yang lebih strategik, Pelabuhan Kemaman akan dapat menampung pertumbuhan kargo pada masa hadapan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan daya saing industri maritim negara," titah baginda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial