WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PELABUR ASING JUAL EKUITI DALAM PASARAN ASIA BERJUMLAH US$5.87 BILION

14/04/2025 01:42 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Pelabur asing meneruskan jualan bersih mereka dalam pasaran Asia untuk minggu kedua berturut-turut, dengan jumlah aliran keluar sebanyak US$5.87 bilion (US$1 = RM4.41), diterajui oleh jualan yang tinggi di Korea Selatan dan India.

Menurut Laporan Aliran Dana MIDF Amanah Investment Bank Bhd pada minggu berakhir 11 April 2025, Korea Selatan mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi di rantau ini sebanyak US$2.95 bilion, menjadikan pengeluaran dana minggu ketiga berturut-turut.

Sehubungan itu, Korea Selatan mengumumkan langkah sokongan segera termasuk pengurangan cukai dan subsidi untuk membantu sektor automotifnya menghadapi tarif baharu Amerika Syarikat (AS) sebanyak 25 peratus ke atas import kenderaan.

Katanya dengan hampir separuh daripada eksport automotifnya dihantar ke AS, kerajaan mengingatkan mengenai impaknya dan berjanji akan berunding dengan Washington selain meninjau pasaran baharu.

Menurut MIDF Amanah, India turut mencatatkan aliran keluar yang ketara untuk minggu kedua berturut-turut, dengan jualan asing bersih sebanyak US$2.47 bilion.

Ini berdasarkan pengumuman perjanjian perdagangan dengan AS dalam perubahan dasar tarif, dengan Menteri Luar Jaishankar menyatakan bahawa rundingan kini dijalankan dengan “tahap keutamaan yang tinggi”.

Sementara itu, Indonesia mencatatkan aliran keluar asing bersih sebanyak US$350.1 juta susulan pembukaan semula pasarannya selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sektor minyak sawit negara itu menggesa kerajaan mengurangkan cukai eksport dan levi sebagai respons kepada taris balas sebanyak 32 peratus yang dikenakan oleh AS, dijangka mengurangkan harga yang diterima oleh pekebun sehingga 3.0 peratus.

Dalam pasaran serantau, katanya hanya Taiwan mencatatkan aliran masuk asing bersih berjumlah US$519.0 juta.

“Taiwan meneruskan larangan terhadap jualan singkat selama seminggu lagi untuk menstabilkan pasaran selepas turun naik berkaitan tarif AS. Walaupun terdapat petunjuk keyakinan pelabur meningkat, ketidaktentuan global masih berterusan.

“Pihak berkuasa menyatakan langkah-langkah itu membantu mengekang spekulasi dan dana penstabilan sebanyak US$15.0 bilion telah diaktifkan, dengan pasaran masih mencatatkan penurunan sebanyak 15 peratus tahun ini,” katanya.

Di peringkat domestik, katanya pelabur asing meneruskan jualan mereka di Bursa Malaysia untuk minggu ke-25 berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM1.97 bilion.

Hanya dua sektor yang menyaksikan aliran masuk asing bersih iaitu produk dan perkhidmatan pengguna (RM5.3 juta) serta telekomunikasi dan media (RM4.4 juta).

Sektor yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM1.36 bilion), utiliti (RM136.5 juta) dan pembinaan (RM107.9 juta).

“Institusi tempatan terus mengimbangi jualan asing, mencatatkan belian bersih untuk minggu ke-25 berturut-turut, dengan aliran masuk berjumlah RM1.93 bilion.

“Pelabur runcit tempatan turut mencatatkan belian bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan aliran masuk sebanyak RM43.7 juta,” katanya.

Menurut MIDF Amanah, purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan secara menyeluruh, dengan pelabur asing, institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan. masing-masing mencatatkan kenaikan sebanyak 54.7 peratus, 120.9 peratus dan 87.5 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan