WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TAHUN BAHARU TAMIL DIHARAPKAN BAWA KEMAKMURAN EKONOMI UNTUK KOMUNITI INDIA

13/04/2025 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Tahun Baharu Tamil yang disambut esok diharapkan membawa kemakmuran ekonomi yang lebih gemilang kepada komuniti India.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata kemakmuran ekonomi merupakan satu daripada faktor penting untuk membawa komuniti itu lebih maju dan seiring dengan proses pembangunan negara.

"Sempena Tahun Baharu Tamil esok, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Chittirai dan Vishu serta perayaan Vaisakhi kepada masyarakat India yang menyambutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramanan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal komuniti India berkata masyarakat berkenaan perlu memperkasakan dan memperkukuh diri dalam bidang ekonomi khususnya peniaga serta usahawan kecil dan sederhana.

"Peranan dan penglibatan masyarakat India dalam proses pembangunan negara memang tidak dapat dinafikan sama sekali khususnya dalam sektor perladangan, perniagaan, sektor awam dan sebagainya,” katanya sambil menambah perniagaan antara bidang yang dikuasai komuniti India sejak dahulu.

Beliau turut menekankan aspek perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan masyarakat itu bagi memastikan kekuatan ‘Otrumai’ (perpaduan) menjamin harapan serta membela nasib masyarakat India di negara ini.

Ramanan berkata seiring dengan proses pembangunan negara masyarakat India juga perlu mara ke hadapan khususnya dalam bidang ekonomi.

“Justeru, saya telah mengusahakan pelbagai inisiatif untuk masyarakat India memperkasakan diri mereka dalam bidang ekonomi termasuk melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan SPUMI Goes Big di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN).

“(Selain itu) program pembiayaan Vanigham di bawah SME Bank, BRIEF-i di bawah Bank Rakyat, I-BAP di bawah SME Corp, PENN (Prosperity, Empowerment and A New Normal) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia dan beberapa inisiatif lagi,” katanya.

Beliau turut yakin masyarakat India akan meraih segala peluang yang disediakan Kerajaan MADANI untuk memajukan perniagaan masing-masing. 

Pada masa sama, beliau mendoakan semoga tahun ini akan terus membawa cahaya kegembiraan, kebahagiaan dan kesejahteraan kepada yang meraikan Tahun Baharu Tamil, Hari Vaisakhi dan Tahun Baharu Vishu, serta kejayaan Malaysia yang akan terus dilakar di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tahun Baharu Tamil akan disambut esok dengan komuniti Tamil meraikan Chittirai Puthandu, masyarakat Malayalee menyambut Vishu manakala kaum Sikh akan memperingati Vaisakhi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan