KOTA BHARU, 13 April (Bernama) -- Mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, 1 April lepas boleh hadir ke mana-mana pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi urusan penggantian dokumen berkaitan tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata sepanjang operasi Kaunter Bergerak JPJ Mobile di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masjid Putra Heights dari 3 hingga 6 April lepas, sebanyak 221 dokumen milik mangsa telah diproses.
Beliau berkata bagi mangsa yang belum berbuat demikian, mereka boleh hadir ke mana-mana kaunter JPJ dengan membawa maklumat seperti nombor kad pengenalan dan alamat rumah untuk tujuan pengesahan tanpa perlu membuat laporan polis.
“JPJ tidak mengenakan sebarang bayaran bagi penggantian dokumen ini sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan kami,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jalinan Muafakat Aidilfitri JPJ Kelantan di sini hari ini.
Aedy Fadly berkata antara dokumen yang boleh diganti secara percuma ialah Sijil Pemilikan Kenderaan, Lesen Kenderaan Motor, Lesen Memandu Malaysia dan Lesen Vokasional.
“Inisiatif ini bertujuan meringankan beban mangsa yang kehilangan dokumen kenderaan dalam insiden itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial