WILAYAH - UTARA > BERITA

SPEAKER DEWAN RAKYAT SARAN PELAJAR UUM KUASAI EMPAT BAHASA

13/04/2025 04:56 PM

SINTOK, 13 April (Bernama) -- Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) disaran supaya menguasai sekurang-kurangnya empat bahasa sebagai nilai tambah sekali gus meningkatkan kebolehpasaran siswazah universiti itu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata pelajar perlu bijak menggunakan peluang yang ada semasa menuntut di institusi pengajian tinggi untuk menguasai pelbagai bahasa.

"Kuasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita, bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, Mandarin sebagai bahasa perdagangan dan bahasa Arab misalnya.

"Dengan menguasai banyak bahasa anda tidak akan tersalah. Semua majikan akan cari pelajar UUM, jadi universiti perlu wajibkan pelajar ambil empat bahasa kerana saya percaya Tuhan jadikan otak kita tiada hadnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program ‘Outreach’ - Bicara Kepimpinan: Memupuk Kepimpinan Masa Hadapan bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat di Pusat Konvensyen UUM di sini hari ini, yang turut dihadiri Naib Canselor UUM Prof Datuk Mohd Foad Sakdan.

Dalam pada itu, Johari turut menggalakkan pelajar UUM supaya lebih banyak menganjurkan aktiviti di luar kampus antaranya dengan mengadakan lawatan ke universiti lain bagi meluaskan lagi pengalaman serta pengetahuan mereka.

"UUM Sintok ini tidak akan ke mana-mana, keluarlah untuk melihat dunia...jangan terlalu terikat dengan sistem," katanya.

Tambah Johari pihaknya yakin bahawa dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, semua pelajar sama ada di bandar atau luar bandar sebenarnya mempunyai peluang sama rata dalam menuntut ilmu.

"Kebanyakan tempat sudah ada akses kepada Internet, bergantung kepada kita bagaimana untuk memanfaatkan kemudahan teknologi yang ada dan tiada alasan ilmu tak sampai kepada anak-anak di kampung," katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan pelajar yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang politik agar memiliki pakej lengkap antaranya pencapaian yang baik dalam pelajaran serta penampilan menarik.

"Anda bukan sahaja akan ditanya oleh ribuan manusia tapi anda juga akan ditanya oleh Tuhan, apakah yang telah anda lakukan ketika anda mempunyai kuasa, jadilah seorang wakil rakyat yang bijak,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan