WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAPIM TUNGGU KEBENARAN MESIR HANTAR 50 KONTENA BANTUAN KEMANUSIAAN KE GAZA

09/04/2025 04:09 PM

Oleh Mohd Azrin Muhammad

SHAH ALAM, 9 April (Bernama) -- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sedang menunggu kebenaran daripada kerajaan Mesir untuk membawa masuk 50 kontena berisi barangan makanan ke Gaza.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata bantuan kemanusiaan itu yang ketika ini sudah berada di Rafah adalah baki daripada 100 kontena berisi khemah dan makanan yang telah pun dibawa masuk ke Palestin sebelum ini.

Beliau berkata sejak tragedi lapan petugas kemanusiaan MAPIM terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Israel di Beit Lahiya, utara Gaza, pada 15 Mac lepas, pihaknya memberi tumpuan kepada misi bantuan makanan buat seketika sementara menanti isyarat kebenaran masuk ke sempadan Rafah.

"Saya mendapat makluman kerajaan Mesir sedang giat memberi tekanan terhadap rejim Israel untuk menghentikan keganasan dan jika berhasil, MAPIM pada bila-bila masa akan masuk dengan bekalan makanan yang sudah tersedia," katanya kepada Bernama pada Majlis Hari Raya MAPIM 2025 di sini hari ini.

Mohd Azmi berkata pihaknya merancang menambah jumlah bantuan berbentuk khemah ke Gaza dalam masa terdekat sekiranya keadaan benar-benar selamat.

MAPIM menyasarkan mendirikan 20,000 khemah di Gaza dalam tempoh empat bulan akan datang berikutan masih ramai rakyat Palestin berlindung di bawah kawasan runtuhan bangunan.

Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata MAPIM kini dalam fasa akhir persiapan sebelum melancarkan Gerakan Kesatuan Masjid Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 24 April ini di ibu negara.

Beliau berkata inisiatif itu menyaksikan sebanyak 6,800 masjid di seluruh negara akan menjalin jaringan di bawah satu bumbung dan membuat perancangan pembangunan komuniti Islam dalam negara, termasuk membantu isu di Gaza.

"Masjid satu daripada institusi asas yang MAPIM merasakan sudah tiba masa masjid bergiat aktif melaksanakan pelbagai program atau inisiatif masing-masing, terutama melibatkan mimbar memberi penerangan mengenai isu semasa yang pelbagai demi kepentingan ummah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan