WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDONESIA DAN PERANCIS SETUJU PERKUKUH HUBUNGAN DI SEBALIK SERANGAN TARIF TRUMP

06/04/2025 11:41 AM

JAKARTA, 6 April (Bernama-ANTARA) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Presiden Perancis Emmanuel Macron bersetuju untuk mengekalkan kerjasama ekonomi dan perdagangan yang kukuh susulan tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenakan tarif timbal balik terhadap beberapa negara.

Agensi berita ANTARA melaporkan, kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen mereka untuk melanjutkan hubungan dua hala dalam satu perbualan telefon pada malam Jumaat (4 April), dua hari selepas Presiden Trump mengumumkan dasar tarif import terbaharu.

Prabowo menerusi akaun media sosialnya @prabowo pada Sabtu, berkata kerjasama strategik antara Indonesia dan Perancis bukan sahaja mencerminkan kepentingan nasional masing-masing, tetapi turut menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran serantau serta global.

“Dalam perbincangan saya dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron, kami bersetuju untuk terus memajukan pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat,” kata Prabowo.

Beliau turut mengalu-alukan komitmen Perancis untuk memperkukuh kerjasama dua hala yang kukuh dan berwawasan antara kedua-dua negara.

“Marilah kita tingkatkan sinergi dan bina masa depan demi kemajuan bersama,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Presiden Macron turut memuat naik hantaran mengenai perbualannya dengan Presiden Prabowo menerusi akaun rasmi media sosialnya @EmmanuelMacron.

“Kami telah bersetuju untuk memperkukuh hubungan antara negara dengan projek-projek yang bercita-cita tinggi dan berpandangan jauh.

"Pendekatan bersejarah yang sedang kami usahakan ini akan direalisasikan semasa lawatan negara saya ke Indonesia pada penghujung Mei,” kata Macron.

Beliau juga berkata bahawa beliau dan Presiden Prabowo bersetuju untuk mempererat kerjasama dalam bidang pertahanan, ekonomi, sains dan kebudayaan, selain meluaskan skop kerjasama dalam sektor pendidikan.

Sepanjang perbualan itu, Prabowo dan Macron turut mengulangi komitmen bersama untuk menyokong usaha merealisasikan keamanan di Timur Tengah serta menamatkan perang antara Rusia dan Ukraine.

-- BERNAMA-ANTARA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan