KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Bagi perseorangan lelaki utama Taiwan Chou Tien Chen, beraksi di Malaysia bukanlah tentang mengejar kejuaraan semata-mata, ia juga tentang persahabatan dan menemui sesuatu yang disifatkan beliau sebagai 'rumah kedua' di atas gelanggang.
Setiap kali Tien Chen tiba di Malaysia untuk kejohanan, pemain nombor tujuh dunia itu akan memastikan beliau berlatih bersama pemain tempatan yang bukan sahaja mendedahkan beliau kepada semangat persaingan tetapi juga setiakawan.
Antaranya beliau sering berlatih bersama pemenang emas Paralimpik Cheah Liek Hou dan pemain profesional Aidil Sholeh Ali Sadikin, di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman Nova Armada.
Atlet berusia 34 tahun itu berkata beliau menghargai sambutan mesra dan sparing berkualiti tinggi yang diterimanya di Malaysia, sebuah negara yang terus memainkan peranan penting dalam persiapannya.
"Ahli pasukan saya daripada Taiwan juga menyertai saya dalam latihan di sini. Liek Hou dan jurulatih Nova ialah kawan baik saya. Mereka sentiasa mengalu-alukan saya untuk berlatih di sini," katanya kepada pemberita pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena di sini.
Tien Chen turut berkongsi rancangannya untuk terus berada di Malaysia bagi menjalani latihan sebelum menghadapi tugasan seterusnya Terbuka Singapura pada 27 Mei hingga 1 Jun ini.
Beliau akan memulakan kempen di negara jiran itu dengan menentang rakan senegara Chi Yu Jen.
Terdahulu, Tien Chen dikejutkan oleh pemain India Sathish Kumar Karunakaran dengan kekalahan 13-21, 14-21 dalam pusingan pertama Masters Malaysia.
Pemain pilihan ketiga itu mengakui beliau bergelut untuk mengatasi penguasaan Sathish di jaring yang memaksanya melakukan banyak kesilapan.
Setakat ini, 2025 merupakan tahun yang agak mencabar buat Tien Chen. Daripada sembilan kejohanan yang disertai, persembahan terbaiknya adalah di Terbuka Taiwan sebagai naib johan.
Walaupun berdepan halangan, Tien Chen tetap berazam untuk kembali ke prestasi terbaik dan terus komited dengan latihan dan matlamat jangka panjangnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial