SUKAN > BERITA

MASTERS MALAYSIA 2025: PEARLY-THINAAH TERUSKAN DOMINASI SELEPAS KEJAYAAN DI THAILAND

21/05/2025 09:43 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2025, sekali gus meneruskan rentak kemenangan selepas menjuarai Terbuka Thailand 2025 minggu lepas.

Turun selaku pilihan ketiga kejohanan, pasangan negara itu tidak berdepan masalah untuk mengetepikan cabaran gandingan Hong Kong Fan Ka Yan-Yau Mau Ying, 21-17, 21-16 dalam aksi straight set yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

“Pada awal set pertama, kami agak perlahan tapi selepas mata ke-11, kami mula dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan angin. 

“Daripada situ, kami mula mengatur semula permainan dan kembali ke strategi asal. Harap momentum ini dapat diteruskan untuk aksi esok,” kata Pearly kepada pemberita. 

Ditanya mengenai perbezaan beraksi di gelanggang luar negara dan di tanah air sendiri, Pearly menjelaskan beliau tidak terlalu memikirkan perkara itu, namun mengakui sokongan peminat tempatan banyak membantu menaikkan semangat mereka ketika beraksi.

Pearly-Thinaah dijadual bertemu pasangan Thailand Pichamon Phatcharaphisutsin-Nannapas Sukklad pada pusingan kedua selepas mereka menewaskan gandingan India Rashmi Ganesh-Sania Sikkandar, 21-10, 21-12 dalam satu lagi aksi pusingan pertama.

Sementara itu, saingan beregu campuran pula menyaksikan Loo Bing Kun-Toh Ee Wei bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 20-22, 21-18, 21-15 ke atas pasangan Taiwan Ming Che Lu-Hung En Tzu, sekali gus mara ke kelompok 16 terbaik.

Ee Wei berkata kemenangan itu hasil kerjasama mantap mereka terutama sokongan Bing Kun yang banyak membantu menutup ruang setiap kali beliau melakukan kesilapan, selain sorakan padu penyokong tempatan yang menjadi pembakar semangat.

Sementara itu, Bing Kun yang tampil buat kali pertama di hadapan ribuan penyokong tanah air berkata pengalaman itu membantunya melupakan rasa gementar dan hanya memberi tumpuan penuh pada permainan.

“Memang teruja… Saya habis-habisan. Kalau bola datang 100 biji pun saya sanggup smash 200 kali. Paling penting, saya perlu atasi tekanan,” katanya, yang dijadual bertemu pasangan Taiwan Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan yang menewaskan Jesper Toft-Amalie Magelund dari Denmark 21-19, 21-15.

Satu lagi beregu campuran negara Chen Tang Jie-Chan Wen Tse pula berdepan nasib berbeza apabila tersingkir pada pusingan pertama selepas tewas kepada pilihan ketujuh kejohanan dari China Cheng Xing-Zhang Chi, 20-22, 15-21.

Tang Jie bakal bergandingan bersama Toh Ee Wei selepas kedua-dua pemain itu membuat keputusan untuk bersatu semula, bermula pada saingan Terbuka Singapura 2025 yang dijadual berlangsung dari 27 Mei hingga 1 Jun ini.

-- BERNAMA 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan