SUKAN > BERITA

LIGA-M TIDAK AKAN TERKUBUR, KELANTAN TERUS BERSAING - ANNUAR MUSA

21/05/2025 04:57 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa menyuarakan keyakinan bahawa Liga Malaysia (Liga-M) tidak akan terkubur.

Menerusi hantaran di Facebook beliau, Annuar menyeru semua pihak untuk bersatu hati dan terus berikhtiar demi masa depan bola sepak tanah air.

Beliau turut memberi bayangan pasukan Kelantan Darul Naim (KDN) FC akan kekal bersaing di Liga Super musim hadapan, sambil menegaskan kepentingan untuk belajar daripada kelemahan lampau.

“Liga akan mati? Insya-Allah tidak. Kita harus berikhtiar. Usah menunding jari. Semua pihak sudah menyumbang. Kelantan akan bersaing di Liga Super, insya-Allah. Kita urus cara kita serta belajar daripada kelemahan masa lepas.

“Yang pasti, ada banyak kejutan bakal muncul… insya-Allah kita tidak benarkan pasukan Kelantan jadi belasahan lagi. Satu syarat, bersatu hati dan bersedia berkhidmat, demi sukan, demi Kelantan dan bola sepak negara,” menurut hantaran itu hari ini.

Semalam, media tempatan melaporkan KDN FC mengesahkan kelab itu bersedia bergabung dengan Annuar, yang juga tokoh pembangunan bola sepak Kelantan dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan sukan nombor satu itu.

Ahad lepas, bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan memberi amaran Liga-M kini berada di ambang krisis dan bakal berdepan risiko terkubur jika tiada tindakan segera diambil susulan peningkatan jumlah pasukan yang terpalit dengan isu kewangan.

Jumlah rasmi pasukan yang bakal bersaing dalam Liga Super 2025/2026 masih menjadi tanda tanya apabila proses semakan dokumen untuk permohonan Lesen Kebangsaan bagi saingan musim depan masih berlangsung, manakala terdapat laporan media yang mendakwa beberapa pasukan dijangka menarik diri.

Sebagai rekod, KDN FC menamatkan saingan Liga Super musim lepas di kedudukan tercorot selepas hanya mengumpul tujuh mata daripada 24 perlawanan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan