KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) - Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memenangi tempat kedua Anugerah Media Penyiaran Televisyen dan Video Dalam Talian (Berita dan Laporan Khas) pada majlis Anugerah Media Agrobank 2024/2025 di sini malam ini.
Wartawan Bernama Mohd Noor Iqram Rosli memenangi anugerah tersebut menerusi berita ‘Hijrah Asnaf Bantu Dua Sahabat Jana Pendapatan Tingkat Kemahiran Golongan B40’, sekali gus membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM3,000.
Penerbit Bernama Radio Wan Shairil Azmir Wan Sharifuddin pula mendapat tempat ketiga dalam Anugerah Media Radio melalui program ‘Padi Wangi Baharu’ dan membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta trofi.
Anugerah berkenaan disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus.
Berkongsi kegembiraan menerima pengiktirafan itu, Mohd Noor Iqram berkata beliau bersyukur kerana usaha kerasnya membuahkan hasil.
“Alhamdulillah, syukur, ini merupakan tahun kedua saya menyertai Anugerah Media Agrobank dan saya amat berbesar hati kerana berjaya sekali lagi menempatkan diri sebagai pemenang,” katanya.
Sementara itu, Wan Shairil Azmir menyifatkan kemenangannya sebagai satu kejutan memandangkan beliau tidak tersenarai pada edisi sebelum ini.
“Memang tak sangka menang, sebab tahun lepas langsung tidak tersenarai. Syukur, kemenangan ini juga hasil kerjasama dan sokongan padu daripada pasukan saya yang banyak membantu menjadikan program radio kami berjaya,” katanya.
Seramai 16 pengamal media dari seluruh negara menerima pengiktirafan menerusi anugerah media itu.
Anugerah berkenaan merupakan penghargaan kepada sumbangan dan komitmen pengamal media dalam menyampaikan laporan berkualiti berkaitan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata pengiktirafan itu mencerminkan penghargaan pihaknya terhadap peranan penting media dalam membina naratif positif mengenai sektor pertanian negara.
“Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP), Agrobank amat menghargai rakan-rakan media yang sentiasa menyokong, melaporkan dengan berintegriti dan menjadi jambatan penghubung antara syarikat dan masyarakat,” katanya.
Pada majlis itu, turut dilancarkan Agro Biz Awards 2025 iaitu sebuah platform anugerah berprestij yang bertujuan mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan pemain industri tani dalam memperkukuh agenda keselamatan makanan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial