AM > BERITA

Tahniah Bernama Atas Ulang Tahun Ke-58, Semoga Terus Jadi Peneraju Media Berinovasi - PM Anwar

20/05/2025 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan terus menjadi peneraju media yang berinovasi, berintegriti dan berpengaruh di peringkat nasional dan global.

Beliau menzahirkan harapan itu menerusi hantaran di Facebook sempena ulang tahun Bernama ke-58 hari ini.

Perdana Menteri berkata sebagai agensi berita nasional, Bernama telah memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berwibawa kepada rakyat.

“Tahniah kepada Bernama atas ulang tahun ke-58.

“Dalam era digital yang pesat berubah, keupayaan Bernama dalam menyesuaikan diri dengan teknologi masa depan termasuk platform digital, kecerdasan buatan dan data besar amat penting dalam memastikan berita terus sampai kepada masyarakat dengan pantas dan berkesan,” kata Anwar.

Bernama ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968 dengan memulakan perkhidmatan teks berita dan berkembang kepada perkhidmatan foto, sebelum mengendalikan stesen radio pada 2007, televisyen (2008) dan terkini media digital.

Sepanjang lebih lima dekad penubuhannya, Bernama menerusi perkhidmatan berita wires, saluran televisyen dan radio serta platform digital, memberi khidmat berlandaskan objektif penubuhannya dengan menyedia, menyebarluaskan berita dan maklumat secara tepat, adil dan saksama demi memelihara kepentingan nasional.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan