SUKAN > BERITA

PIALA ASIA: MALAYSIA JINAKKAN KOREA SELATAN, JUARAI KUMPULAN B

17/05/2025 07:23 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Seperti dijangka, Malaysia melangkah gagah ke peringkat separuh akhir acara regu berpasukan selepas menewaskan Korea Selatan 3-0 pada aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Kemenangan itu melengkapkan rekod sempurna skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun selepas menundukkan Brunei dan Jepun dengan keputusan sama, 3-0, pada perlawanan sebelumnya semalam, sekali gus mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan.

Korea Selatan muncul naib juara kumpulan.

Dalam aksi penuh keyakinan, regu pertama yang diwakili Muhammad Haziq Hairul Nizam, Farhan Adam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin membuka tirai kemenangan dengan menewaskan Cheon Dong Ryeung, Seon Woo Young Su dan Oh Dae Yang 15-6, 15-9.

Regu kedua yang diperkuatkan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir pula menambah mata kedua negara dengan keputusan 15-6, 15-11.

Regu ketiga Malaysia tidak mensia-siakan kelebihan apabila Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi menumpaskan Nam Sang Hun, Shin Hee Seop dan Kin Jung Man 15-8, 15-7 untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan bersih.

Malaysia bakal bertemu Thailand atau India yang akan bertarung bagi merebut juara atau naib juara Kumpulan A malam ini bagi aksi separuh akhir esok.

Skuad Gajah Perang dijangka mengekalkan rekod cemerlang mereka dan terus melangkah ke final yang turut akan berlangsung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan