SUKAN > BERITA

UM PERTAHAN KEJUARAAN SPORTS SYNERGY CARNIVAL 2025

16/05/2025 07:06 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) --Universiti Malaya (UM) terus mengukuhkan dominasi apabila mempertahankan kejuaraan keseluruhan dalam Sports Synergy Carnival 2025 yang berlangsung selama dua hari di sini bermula Sabtu lepas.

Kejohanan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pusat Sukan UM dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) itu menyaksikan UM membawa pulang enam pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Hospital Kuala Lumpur (HKL) muncul naib juara dengan kutipan satu emas, dua perak dan satu gangsa, manakala Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di tempat ketiga (1-2-0).

Pendaftar UTM Datuk Dr Mohd Sharil Abdullah berkata karnival berkenaan bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya platform mengukuh hubungan strategik antara institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan.

“Sambutan positif tahun ini membuktikan bahawa Sports Synergy bukan sekadar kejohanan sukan biasa tapi satu gerakan sosial yang memupuk perpaduan, semangat kekitaan dan sinergi dalam kalangan warga kerja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya edisi 2026 bakal diperluas dengan penambahan acara sukan berpasukan serta penglibatan lebih banyak agensi.

Beliau turut menyifatkan karnival itu seiring aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya dalam memperkukuh jaringan sosial, mempromosi kesaksamaan dan pembangunan komuniti lestari menerusi pendekatan sukan.

Sebanyak 600 atlet dari sembilan kontinjen termasuk UM, UTM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), HKL, MAIWP, Kementerian Pertahanan (MINDEF), PULAPOL dan BERNAMA menyertai kejohanan itu.

Sembilan acara dipertandingkan antaranya bola sepak sembilan sebelah, bola jaring, bola tampar lelaki, dart berpasukan, boling lelaki dan wanita, serta badminton (berpasukan lelaki, beregu wanita dan perseorangan wanita yang berlangsung di empat lokasi termasuk Kampus UTM Kuala Lumpur dan Universiti Malaya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan