Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 15 Mei (Bernama) -- Pasangan beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik layak ke suku akhir Kejohanan Terbuka Thailand, selepas menewaskan pasangan Jepun Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita di Stadium Nimibutr, hari ini.
Juara beregu Asia itu hanya memerlukan kira-kira 38 minit untuk menang 21-17, 21-17, ke atas pasangan Jepun yang menduduki kedudukan ke-59 dunia itu.
Wooi Yik berkata prestasi mereka kini bertambah baik berbanding pusingan pertama, kerana mereka berjaya melaksanakan strategi jurulatih mereka.
“Rancangan permainan menyerang kami berjalan dengan baik. Pada set kedua, kami bermain sedikit terkejar sehingga ke separuh permainan, namun selepas itu, kami mengubah sedikit ritma dan ia berbaloi,” katanya kepada Bernama hari ini.
Selepas ini Aaron-Wooi Yik akan berhadapan rakan sepasukan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, yang sebelum ini mengalahkan satu lagi pasangan beregu Malaysia Kang Khai Xing-Aaron Tai, 21-11, 21-11, dalam masa 24 minit.
Aaron berkata agak mengembirakan untuk melihat pemain muda bermain dengan baik dan berharap mereka akan terus bermain dengan baik pada perlawanan seterusnya.
“Ia satu tanda yang positif untuk negara apabila pemain muda semakin baik.Saya berharap mereka akan terus memberikan yang terbaik mereka esok. Kami akan bermain permainan terbaik kami dan semoga pasangan yang lebih baik, menang esok,” katanya.
Sementara itu satu lagi pasangan beregu Malaysia Man Wei Chong-Tee Kai Wun, tewas kepada pasangan Denmark William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 21-15, 19-21 dan 18-21 dalam masa 46 minit.
Sementara itu pemain perseorangan profesional negara Aidil Sholeh Ali Sadikin, memberikan cabaran hebat sebelum tewas kepada pemain ke-20 dunia Lu Gang Zu dari China.
Aidil Sholeh menang set pertama 21-18, namun gagal meneruskan kemenangan itu pada set kedua dan ketiga apabila tewas 16-21, 14-21 pada perlawanan yang berlangsung lebih sejam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial