SUKAN > BERITA

AGONG BERKENAN BERANGKAT KE MAJLIS ANUGERAH SUKAN NEGARA 2024

13/05/2025 12:51 PM

PETALING JAYA, 13 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di Subang Jaya, di sini hari ini.

Majlis berprestij itu menghimpunkan penggiat sukan tanah air bagi meraikan pencapaian cemerlang atlet negara sepanjang tahun lepas.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan timbalannya Adam Adli Abd Halim.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Dr K. Nagulendran dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Anugerah Olahragawan Kebangsaan 2024 kepada beregu lelaki badminton negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang diwakili Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia Datuk Kenny Goh. 

Anugerah Olahragawati Kebangsaan 2024 pula disandang atlet boling padang Nor Farah Ain Abdullah,  yang melakar sejarah tersendiri tahun lepas.

Aaron-Wooi Yik tidak hadir kerana menyertai kejohanan Terbuka Thailand 2025 yang bermula hari ini hingga Ahad.

Pasangan beregu itu, yang kini berada di ranking kelima dunia, mempertahankan pingat gangsa Sukan Olimpik buat kali kedua berturut-turut, selepas menewaskan gandingan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada saingan Paris 2024.

Sementara itu, Nor Farah Ain mencuri perhatian selepas meraih pingat emas acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lepas.

Lebih manis, atlet nombor satu dunia itu turut mencatat sejarah sebagai atlet boling padang wanita pertama negara, yang dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan.

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan masing-masing membawa pulang piala, sijil serta wang tunai RM20,000.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Sukan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

ASN yang diperkenalkan sejak 1966 merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan atas kecemerlangan yang dicapai sepanjang tahun.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan