AM > BERITA

Malaysia Gesa Komuniti Antarabangsa Perkukuh Kerjasama Tangani Krisis Air Global - Fadillah

13/05/2025 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Malaysia menggesa komuniti antarabangsa untuk memperkukuh kerjasama menangani krisis air global, satu cabaran rentas sempadan yang memberi kesan kepada semua negara tanpa mengira negara kaya atau miskin, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata sudah tiba masanya bagi masyarakat global mengiktiraf air sebagai sumber yang sangat berharga untuk kelangsungan hidup dan pembangunan manusia.

"Malaysia berpandangan perkongsian strategik dan tindakan polisi yang selaras adalah keutamaan dalam menjamin masa depan air yang mampan dan berdaya tahan untuk semua.

"Air merupakan nadi kehidupan planet yang menyatukan masyarakat global dalam satu tanggungjawab bersama. Justeru, krisis air global yang merentasi sempadan dan ekonomi menuntut kerjasama segera," katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalaman Malaysia pada sesi plenari pembukaan Sidang Kemuncak Air Global 2025 yang bertemakan Delivering the Economics of Water di Paris hari ini.

Fadillah turut berkongsi pendekatan progresif negara dalam pengurusan air mampan sekali gus mengesahkan komitmen Malaysia untuk menawarkan kepakaran negara sebagai model bagi negara-negara menghadapi isu keselamatan air yang sama.

Pada sesi plenari itu juga, beliau turut memaklumkan pencapaian utama negara dalam perjalanan pengurusan air dan pembaharuan yang mengubah negara daripada tadbir urus negeri yang berpecah ke arah perkongsian Persekutuan dan negeri lebih bersepadu.

"Malaysia juga komited dalam usaha berterusan mengurus permintaan air yang semakin meningkat, termasuk kesan perbandaran, perubahan iklim dan penggunaan air oleh industri," katanya.

Dalam hantaran itu, Fadillah turut menyentuh tiga inti pati utama Agenda Transformasi Sektor Air Malaysia 2040, iaitu mengubah perspektif air dengan memberi tumpuan kepada pengurusan air sebagai sumber yang sangat bernilai dan terhad.

Selain itu, memperkukuh kerjasama pelaburan sektor swasta untuk memacu inovasi dalam pengurusan air, serta kesediaan proaktif terhadap perubahan iklim dengan meningkatkan kecekapan ramalan banjir, data pemodelan lebih canggih dan perancangan berdasarkan senario untuk membuat persiapan dan ramalan lebih baik kepada kejadian cuaca ekstrem.

"Saya turut menyatakan peranan aktif Malaysia dalam usaha serantau, khususnya pada peringkat ASEAN, sambil menghulurkan jemputan kepada pencipta inovasi global untuk melabur serta bekerjasama dalam teknologi air generasi baharu," katanya.

Turut hadir pada sidang kemuncak itu ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, Setiausaha Bahagian Tenaga Lestari Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)  Asdirhyme Abdul Rasib dan Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd Narendran Maniam.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan