SUKAN > BERITA

DANISH IFTIKHAR DOMINASI ACARA TREK, GONDOL EMAS 200M

04/05/2025 07:59 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Selepas mengejutkan pesaing handalan dengan kemenangan dalam acara 100 meter (m) semalam, pelari muda Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, sekali lagi mencuri tumpuan apabila merangkul kejuaraan dalam acara 200 meter (m) lelaki pada Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur yang berlangsung di Stadium Merdeka, di sini, hari ini.

Atlet berusia 18 tahun itu mengakui masih dahaga kejayaan meskipun sudah merangkul pingat emas dalam kedua-dua acara tersebut kerana beliau menyasarkan pencapaian lebih besar pada kejohanan akan datang.

“(Untuk hari ini) saya bukan melambatkan ataupun meredakan larian, tetapi saya mempercepatkan kelajuan selepas 150 meter pertama.

“Saya hanya mempercepatkan untuk mengelakkan sebarang kecederaan yang mungkin berlaku. Sebab saya sudah berlari separuh, saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk pemulihan dan pemanasan,” katanya kepada pemberita.

Danish Iftikhar berkata tiada yang luar biasa dalam persiapan hari ini melainkan beliau mengikuti rutin biasa dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan dan rehat yang mencukupi bagi memastikan kemenangan dan membawa pulang pingat.

Beliau berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 21.81 saat (s) untuk meraih pingat emas bagi acara 200m, diikuti Muhammad Rizal Mikhail Mohd Romzi dari Majlis Sukan Negeri Pahang dengan catatan 22.23s, manakala tempat ketiga diraih oleh Muhammad Airiel Iskandar Rusli dari SUKMA Johor dengan masa 22.40s.

Sementara itu, bagi acara 200m wanita, Nur Aishah Rofina Aling daripada Persatuan Olahraga Sabah meraih pingat emas dengan catatan masa 24.69s.

Manakala atlet negara Nur Afrina Batrisyia Mohammad Rizal dan atlet Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Zaimah Atifah Zainuddin, masing-masing berada di tempat kedua (25.50s) dan ketiga (26.01s).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan