SUKAN > BERITA

KHAIRUL HAFIZ PUAS HATI DENGAN KOMBINASI BARU KUARTET 4X100M

03/05/2025 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Raja Pecut Asia Tenggara 2017 Khairul Hafiz Jantan berpuas hati dengan kombinasi baharu kuartet 4x100 meter (m) lelaki negara yang baru digandingkan pada Kejohanan Olahraga Super Series 2025 di Stadium Merdeka di sini hari ini. 

Menurut Khairul Hafiz, kejohanan itu merupakan kali pertama beliau beraksi bersama Jonathan Nyepa, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Muhammad Zulfiqar Ismail namun mereka sudah menunjukkan keserasian yang baik.

Meraih pingat gangsa dan catatan masa 40.55 saat (s) pada perlumbaan hari ini, beliau berharap gandingan itu akan layak ke Sukan SEA Thailand pada Disember. 

Sementara itu, pasukan Jerman A yang terdiri daripada Kevin Kranz, Owen Ansah, Yannick Wolf dan Lucas Ansah-Peprah muncul pemenang dengan catatan masa terpantas 38.26 saat (s) sementara Jerman B yang dibarisi Wagner Julian, Askovic Alexandar, Onuoha Chdiera, Gussmann Heiko pula meraih pingat perak dengan catatan 38.84s.

"Memang kita mengharapkan (gandingan ini) dapat ke layak ke Sukan SEA. Yang penting kita dapat kekalkan pingat kita. Empat pelari ini bersama Muhammad Azeem Mohd Fahmi, kita lima orang. 

"Sebab dalam rampaian ini kita ada lima ke enam orang sebab sekiranya ada tercedera dia boleh gantikanlah," katanya selepas perlumbaan.

Atlet berusia 27 tahun itu berkata masih banyak perkara yang perlu diperbaiki kuartet itu terutamanya menjelang aksi di Kejohanan Olahraga Asia ke-26 di Korea Selatan akhir Mei ini. 

Katanya beliau akan menyerahkan kepada Institut Sukan Negara (ISN) untuk membuat penilaian semula kombinasi tersebut.  

"Hari ini pengalaman baharu untuk kombinasi ini, kita perlu lihat balik cara larian, cara pas baton, apa yang kurang sebab ini kejohanan pertama kita digandingkan sebelum ini kita hanya jalani latihan dua minggu sebelum kejohanan," katanya. 

Terdahulu, bagi acara 4x100m wanita menyaksikan atlet Malaysia di bawah skuad Malaysia Atheletic Team meraih pingat perak dengan catatan masa 45.50s selepas tewas kepada kuartet Jerman B (43.43s) manakala pingat gangsa menjadi milik Kuala Selangor Team (58.61s).

Pasukan negara dibarisi Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkipli, Nur Afrina Batrisyia dan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan