MELAKA 3 Mei (Bernama) -- Korea Selatan membuktikan dominasi dalam tenis remaja Asia apabila menyapu bersih semua kejuaraan pada hari terakhir Kejohanan Antarabangsa Persekutuan Tenis Asia (ATF) Bawah 14 Tahun (B-14) di Kompleks Tenis Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), di sini hari ini.
Empat gelaran menjadi milik negara itu menerusi kejayaan dalam kategori perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan wanita.
Dalam aksi final perseorangan lelaki, Suh Yoonjae menewaskan rakan senegara Kwon Minchan 7-6, 6-2 dalam masa satu jam 25 minit, manakala Lim YeonKyung menjuarai kategori wanita selepas mengetepikan pemain Britain, Lau Calista 6-1, 6-2.
Aksi beregu lelaki menyaksikan gandingan Suh Yoonjae dan Kwon Minchan terus cemerlang apabila mengatasi pasangan Hong Kong, Wong Him-Chan Chun Yiu 6-4, 6-7, 16-14.
Gelaran beregu wanita turut milik Korea Selatan apabila pasangan Lim YeonKyung-Hwang Bitna menewaskan rakan senegara Son Hai-Kim Yeyul 6-3, 6-0.
Kejohanan yang berlangsung sejak 28 April itu menarik penyertaan pelbagai negara termasuk Korea Selatan, Britain dan Singapura dengan 20 pemain mewakili Malaysia, termasuk empat dari Melaka.
Pemain remaja negara Audrey Teng Wen Si mengharumkan nama Malaysia apabila meraih tempat ketiga dalam acara perseorangan wanita selepas menewaskan Han Jiwoo dari Korea Selatan 4-0, 4-0.
Presiden Persatuan Lawn Tenis Melaka (MLTA) Muhammad Shahrul Hafidz Abd Rahim berkata pencapaian Audrey membuktikan pemain negara mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kita bangga dengan Audrey yang merupakan pilihan kedua negara dan berjaya mara ke separuh akhir walaupun berdepan pemain Korea Selatan yang sangat kompetitif.
“Korea Selatan hantar hanya 14 pemain berusia antara 11 hingga 12 tahun tetapi berjaya kuasai semua kategori. Ini beri pengajaran kepada kita tentang pentingnya pembangunan sukan tenis dari usia muda,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penutup kejohanan yang disempurnakan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Melaka Mohd Asri Ninggal.
Katanya MLTA akan terus menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa termasuk ATF Bawah 16 Tahun yang dijadual berlangsung bulan depan di venue sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial