SUKAN > BERITA

PAFA HORMATI KEPUTUSAN PERAK FC TARIK DIRI DARIPADA SAINGAN LIGA SUPER

29/04/2025 12:29 PM

IPOH, 29 April (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Perak Darul Ridzuan (PAFA) menghormati keputusan Perak FC membubarkan pasukan dan menarik diri daripada saingan Liga Super musim hadapan. 

Presiden PAFA Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata pihaknya menghormati keputusan dibuat XOX Berhad yang memiliki 100 peratus pemilikan saham Perak FC. 

“PAFA amat menghargai dan merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada XOX Berhad atas sumbangan diberikan kepada pasukan bola sepak negeri melalui Perak FC.

“PAFA  turut bersimpati dengan nasib pemain Perak FC terutamanya pemain muda dan akan membantu mengikut keupayaan sedia ada khususnya dalam aspek pembangunan bola sepak serta kerjaya pemain muda Perak,” katanya dalam kenyataan semalam. 

Mohd Azhar berkata walaupun pasukan Perak FC dibubarkan, PAFA akan memastikan pembangunan sukan itu di negeri berkenaan tidak terjejas menerusi pembangunan dari peringkat akar umbi bagi melahirkan pemain berkualiti dan berintegriti.

Beliau berkata perancangan semasa PAFA adalah untuk membentuk pasukan bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2025/2026, di samping mempertimbangkan untuk memberi pendedahan serta pengalaman kepada pasukan SUKMA tersebut dengan menyertai Liga A1 atau A2.

“Selain itu, PAFA juga akan merujuk dan mendapatkan khidmat nasihat daripada kerajaan negeri, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Liga Bolasepak Amatur (AFL) bagi langkah seterusnya,” katanya. 

Pada Sabtu lepas, media melaporkan Pengerusi Perak FC Datuk Seri Azim Zabidi mengesahkan bahawa skuad The Bos Gaurus terpaksa menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan kerana berdepan kemelut kewangan. 

Azim dilaporkan berkata pihaknya sudah melakukan yang termampu untuk membangunkan pasukan itu termasuk membelanjakan hampir RM40 juta sejak tiga tahun lepas.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan