SUKAN > BERITA

JUARA EPL: PEMINAT MALAYSIA TURUT RAIKAN KEJAYAAN LIVERPOOL

28/04/2025 03:46 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Bukan sahaja di Stadium Anfield, kejayaan Liverpool memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini turut memberi makna yang besar kepada para penyokong terutama di Malaysia.

Kegembiraan di atas kejayaan Liverpool merangkul gelaran liga ke-20 itu turut dikongsi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang juga peminat tegar skuad The Reds.

“Terharu dan gembira!” katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

Pada masa sama, ahli kelab peminat Liverpool All Reds Malaysia S. Ragunath berkata beliau tidak menjangkakan Liverpool mampu menjulang kejuaraan di bawah bimbingan ketua jurulatih Arne Slot yang dilantik mengendalikan pasukan itu sejak Mei tahun lepas.

“Saya tak dengar banyak mengenai Slot, kebanyakan peminat juga tak jangka dan ini adalah hasil yang positif. Persaingan juga agak kuat daripada Arsenal, tapi sejak persembahan Liverpool tak berapa bagus musim ini, saya harap mereka akan bekerja keras. Sejak Liverpool mula menunjukkan peningkatan dan kalau kekalkan momentum memang akan jadi juara.

“Semalam kita hanya perlu satu jaringan untuk menang, tapi mereka menang bergaya. Tahniah kepada Liverpool,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj meluahkan rasa terharu dan gembira, lebih-lebih lagi apabila penyokong kali ini dapat meraikan kejuaraan secara bersemuka di stadium, berbanding ketika Liverpool menjuarai EPL pada 2020 dalam suasana pandemik COVID-19.

Arul Rajoo yang mula menyokong Liverpool sejak di bangku sekolah rendah pada tahun 1977, turut mengakui terkejut dengan kejayaan Liverpool musim ini selepas kelab itu bertukar kepada Slot.

“Biasanya bila ada pengurus baharu akan berlaku perubahan dari segi corak permainan ataupun pemilihan pemain, tapi nampaknya Slot ini mengekalkan rentak yang sama dengan hampir keseluruhan pemain yang sama tetapi dengan cara dan corak formasi beliau sendiri.

“Kita boleh lihat beliau tenang dan walaupun boleh nampak ada tekanan tapi begitu tenang sekali berbanding dengan Klopp (bekas pengendali Liverpool Jurgen Klopp). Klopp kita boleh nampak dia punya semangat lain, Slot pula berbeza, tapi kedua-dua itu menggunakan kualiti yang ada pada pemain-pemain,” katanya.

Arul Rajoo berkata peluang menyaksikan sendiri perlawanan Liverpool menentang Brentford di London pada Januari lepas menambah manis kenangan musim ini.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Peminat Manchester United Malaysia Raf Yaakob berkata beliau akur dengan kehebatan yang ditampilkan Liverpool selain mengucap tahniah di atas kemenangan bergaya yang diraih. 

“Kita tidak boleh menafikan Liverpool menjadi pasukan yang kuat berbanding Manchester United sejak kebelakangan ini. Jadi, kita peminat United terpaksa akur, diam dan terima keadaan ini, dan sekali lagi tahniah di atas kemenangan ini,” katanya. 

Liverpool bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk membelasah Tottenham Hotspur 5-1, sekali gus mengesahkan kejuaraan EPL di Stadium Anfield awal pagi tadi.

Liverpool yang kini menyamai rekod gelaran liga United, mengumpul 82 mata daripada 34 perlawanan untuk meninggalkan Arsenal di tangga kedua dengan 67 mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan