SUKAN > BERITA

PIALA SUDIRMAN: MALAYSIA TUNDUKKAN PERANCIS

28/04/2025 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Malaysia membuka tirai kempen Piala Sudirman 2025 dengan langkah kanan apabila menewaskan Perancis 5-0, dalam aksi sulung Kumpulan C yang berlangsung di Gimnasium Xiamen Fenghuang, China, hari ini.

Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani tidak memberi ruang kepada lawan apabila mempamerkan dominasi mutlak ke atas Mael Cattoen-Lucas Renoir dan mengalahkan pasangan ke-58 dunia itu 21-11, 21-9, dalam masa 29 minit.

“Saya rasa kami masih cuba untuk sesuaikan diri dengna gelanggang dan angin. Masih terdapat banyak perkara untuk diperbaiki dan menjadi lebih baik. Ini perlawanan pertama, jadi penting buat pasukan dan kami juga.

“Kami sertai latihan di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk kira-kira 10 hari. Saya rasa suasana dan kesemuanya baik. Persediaan juga bagus. Terima kasih kepada jurulatih Herry Iman Pierngadi dan BAM,” kata Sze Fei menerusi rakaman audio yang dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Perseorangan wanita profesional negara Goh Jin Wei pula tidak berdepan masalah menghadiahkan mata kedua negara, selepas mengalahkan Leonice Huet, 21-10, 21-19 dalam aksi 33 minit.

Jin Wei yang tampil buat kali ketiga di pentas Piala Sudirman, menyifatkan peluang beraksi dan menyumbang mata buat negara sebagai satu penghormatan besar, sambil berterima kasih kepada BAM atas kepercayaan yang terus diberikan terhadap kemampuannya.

Bagaimanapun dalam acara perseorangan lelaki, Leong Jun Hao berhadapan tentangan sengit dengan beberapa kali terikat mata, sebelum meraih kemenangan ke atas Arnaud Merkle.

Pemain ranking ke-26 dunia itu, menang dengan 22-20, 21-19 dalam masa 55 minit.

Malaysia turut unggul dengan menyumbang dua lagi mata menerusi beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah yang menewaskan gandingan Margot Lambert-Camille Pognante, 21-13, 21-10, selain beregu campuran profesional  negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mengalahkan Gregoire Deschamp-Elsa Jacob 21-7, 21-19 dalam aksi terakhir. 

Skuad negara akan meneruskan cabaran bertemu Australia esok, sebelum membuat perhitungan  menentang pilihan ketiga kejohanan Jepun pada 1 Mei, dalam usaha merebut satu daripada dua slot teratas kumpulan untuk ke suku akhir.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam Piala Sudirman ialah mara ke peringkat separuh akhir tiga kali, iaitu pada edisi 2009, 2021 dan 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan