SUKAN > BERITA

PIALA SUDIRMAN: JONASSEN DIJANGKA TURUNKAN BARISAN TERKUAT MENENTANG PERANCIS

27/04/2025 07:25 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara Kenneth Jonassen memberi bayangan akan menurunkan barisan terkuat pada aksi pembukaan Kumpulan C kempen Piala Sudirman 2025 menentang Perancis di Xiamen, China esok.

Walaupun berdepan Perancis yang dianggap lemah, Jonassen mengingatkan pemain negara supaya kekal fokus, hadapi perlawanan dengan serius, sekali gus memulakan kejohanan berprestij ini dengan langkah kanan di Gimnasium Fenghuang Xiamen.

“Saya tidak boleh berkongsi secara terperinci barisan pemain kita esok tetapi secara keseluruhannya,  seperti yang saya katakan sebelum ini, ia adalah mengenai barisan pemain terbaik yang kami percaya mampu mencipta kemenangan.

“Bagi mendapatkan keputusan yang baik pada peringkat kumpulan ini, kami perlu menang esok. Kami faham, di atas kertas kami menentang pasukan lebih lemah, tetapi kami perlu kekal fokus dan komited pada pelan permainan kami,” katanya dalam rakaman audio yang dikongsi Persatuan Badminton Malaysia kepada media hari ini.

Pada kempen kali ini, Perancis tidak menyenaraikan beberapa pemain berstatus bintang mereka termasuk juara Kejohanan Badminton Eropah baru-baru ini iaitu pemain perseorangan lelaki nombor 10 dunia Alex Lanier serta pasangan beregu lelaki Christo Popov-Toma Junior Popov.

Malaysia pula akan membariskan pemain senior berpengalaman seperti Leong Jun Hao (perseorangan lelaki) pasangan beregu lelaki nombor dua dunia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, juara Asia 2025 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki), Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) serta Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita).

Pemain lain yang disenaraikan termasuk Justin Hoh (perseorangan lelaki) Goh Jin Wei dan K. Letshanaa (perseorangan wanita) serta Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (beregu campuran).

Selepas Perancis, Malaysia akan menentang Australia pada Selasa sebelum menamatkan perlawanan peringkat kumpulan menentang pilihan ketiga Jepun pada Khamis.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke suku akhir kejohanan itu, yang bermula hari ini sehingga 4 Mei.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan