MELAKA, 26 April (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah melupus dan merobohkan 30 gelanggang sukan yang tidak diselenggara dengan sempurna di seluruh negara sejak 2021, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.
Beliau berkata pelupusan itu melibatkan 20 gelanggang di Semenanjung Malaysia dengan kerugian mencecah RM11 juta manakala di Sabah dan Sarawak, sebanyak 10 gelanggang dirobohkan melibatkan kerugian RM1.4juta, dengan kebanyakannya melibatkan gelanggang futsal 1Malaysia.
"Keadaan ini berlaku disebabkan gelanggang sukan terutama futsal dibina terlalu banyak ketika itu namun tidak didaftarkan sebagai aset KBS kerana dibina di tanah negeri atau rizab negeri, swasta, persendirian, sekolah serta tanah Felda.
"Jadi masalah timbul apabila gelanggang terbiar kerana dibina tanpa sebarang mekanisme penyelenggaraan atau pemantauan dari KBS, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau persatuan sukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Sukan Pulse Play Ayer Keroh di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Pulse Play Azahari Muhammad Rejab.
Menurut Adam Adli, setakat ini 1,943 gelanggang futsal telah direkodkan oleh KBS dan daripada jumlah itu sebanyak 1,425 gelanggang telah diserahkan tanpa pembaikan kepada pemilik tanah, 384 diserahkan dengan kos pembaikan manakala 30 lagi sudah dirobohkan.
Beliau berkata pelan penyelenggaraan yang sistematik perlu diamalkan oleh semua agensi pengendali pusat sukan bagi memastikan jangka hayat pusat sukan atau gelanggang lebih panjang dan pada masa sama mengurangkan bebanan yang perlu ditanggung.
"Kita tahu tidak kira dari kementerian atau swasta, komitmen untuk menyelenggara pusat-pusat sukan ini amat tinggi dan memerlukan dana berterusan. Justeru, beberapa strategi perlu digarap untuk memastikan pusat sukan atau gelanggang yang dibina terus 'hidup'.
"Seperti pembukaan Kompleks Sukan Pulse Play ini yang serba moden dan menempatkan gelanggang sukan pilihan generasi masa kini. Sudah tentu ia menjadi tanggungjawab bersama yang melibatkan komuniti, PBT dan kementerian untuk memastikan gelanggang ini dapat diselenggara dengan baik," katanya.
Sementara itu, Adam Adli berkata kewujudan pusat sukan serba moden itu akan merancakkan lagi ekonomi menerusi industri pelancongan sukan di Melaka.
Kompleks Sukan Pulse Play dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk padang bola sepak tujuh sebelah serta gelanggang pickleball dan gelanggang padel, dua sukan yang kian mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial