SUKAN > BERITA

TEMPAHAN KEMUDAHAN KBS KINI LEBIH MUDAH DENGAN JOMPAY

21/04/2025 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh hari ini melancarkan JomPAY sebagai mod pembayaran tambahan dalam Sistem Tempahan Fasiliti (STF).

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan pengenalan mod pembayaran melalui JomPAY merupakan langkah Kerajaan MADANI ke arah pendigitalan dan pemodenan perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus dan mesra rakyat.

“Pengenalan kaedah ini selari dengan nilai teras daya cipta dan kesejahteraan dalam kerangka Malaysia MADANI dengan memperkenalkan inovasi digital yang memudahkan urusan rakyat. 

“(Ia juga) meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam selain dari turut menyumbang kepada peningkatan ketelusan dalam kutipan hasil kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut KBS, melalui penambahbaikan itu, pengguna tidak perlu hadir ke kaunter secara fizikal sebaliknya membuat pembayaran secara dalam talian bagi pembayaran tempahan kemudahan di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) seperti Kompleks Belia dan Sukan, Kompleks Rakan Muda, Kompleks Sukan Komuniti dan Kompleks Sukan.

“Untuk menggunakan kaedah JomPAY, pengguna perlu memastikan Biller Code yang dipilih bagi tujuan pembayaran adalah milik kemudahan/kompleks yang ditempah,” menurut kenyataan itu. 

KBS berharap kemudahan pembayaran ini dapat meningkatkan penggunaan kemudahan JBSN di seluruh negara selari dengan hasrat kerajaan untuk merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat. 

Maklumat lanjut berkenaan tempahan kemudahan dan fasiliti JBSN boleh diakses melalui pautan rasmi STF KBS https://stf.kbs.gov.my/ks_user/login.php dengan sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Sekretariat STF di talian 03-8871 3741/3114 atau e-mel anuar.h@kbs.gov.my. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan