SUKAN > BERITA

SHALIN ZULKIFLI KETUAI JAWATANKUASA ATLET ADAMAS

19/04/2025 11:07 AM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Legenda tenpin boling negara Datuk Shalin Zulkifli dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Atlet Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) untuk berfungsi sebagai suara atlet dalam usaha membentuk persekitaran sukan yang lebih adil, berintegriti dan bertanggungjawab. 

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan Shalin akan disertai enam ahli lain iaitu Mathivani Murugeesan (karate), Johnnathan Wong Guanjie (menembak), Muhammad Hakimi Ismail (olahraga), Noor Askuzaiemy Mat Salim (boccia), Abu Samah Borhan (tenis kerusi roda) dan Boon Wei Ying (badminton – MSDeaf).

Kenyataan itu turut memaklumkan penubuhan Jawatankuasa Atlet ADAMAS merupakan langkah strategik memperkukuhkan penyertaan atlet dalam polisi dan pelaksanaan antidoping, sejajar dengan prinsip keterangkuman yang digariskan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA). 

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab menguatkuasakan dasar antidoping kebangsaan, ADAMAS kekal komited menjalankan peranannya selaras dengan piawaian antarabangsa.

“Antara program yang dilaksanakan ialah 'Play True Day 2025’ yang merupakan satu platform mendekati komuniti sukan melalui pendidikan antidoping secara inklusif, peningkatan kefahaman serta kesedaran tentang hak dan tanggungjawab sebagai atlet,” menurut kenyataan itu hari ini. 

KBS memaklumkan ADAMAS juga mengajak seluruh komuniti sukan negara untuk berganding bahu memperkukuhkan budaya sukan bersih dan berintegriti demi melahirkan atlet MADANI yang berdaya saing, beretika dan bebas daripada amalan tidak sihat.

“Komitmen ini perlu dilaksanakan secara kolektif bermula dengan diri sendiri demi kemajuan sukan negara yang mampan dan disegani dunia,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan