PETALING JAYA, 20 April (Bernama) -- Senarai rasmi atlet terpilih untuk program Road to Gold (RTG) hanya akan diumumkan selepas individu yang disenarai bersetuju dengan syarat ditetapkan jawatankuasa program.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata jawatankuasa RTG akan bertemu dengan atlet yang terpilih dalam tempoh dua minggu lagi untuk mengesahkan sama ada mereka menerima atau menolak tawaran berkenaan.
"Selepas mengadakan perbincangan, barulah kita boleh mendapatkan senarai atlet yang bersetuju.
"Ini kerana kita boleh memberikan tawaran, tetapi jika mereka enggan menerimanya, kita tidak boleh memaksa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pejabat baharu Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) dan Buku Mewah Ulang Tahun ke-50 MTBC di sini hari ini.
Pada Selasa, Jawatankuasa RTG mengumumkan 16 atlet dipilih untuk program itu, dengan 13 daripadanya terdiri atlet sukan badminton.
Senarai berkenaan, termasuk pemain profesional seperti Lee Zii Jia yang sebelum ini menolak tawaran untuk menyertai program itu bagi kempen Paris 2024.
Tiga atlet lain ialah pelumba berbasikal trek Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan.
Sementara itu, Hannah dalam majlis berkenaan turut mengumumkan Geran Padanan Sukan bernilai RM180,000 untuk Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia 2025 yang berakhir hari ini.
“Kementerian Belia dan Sukan menyokong penganjuran kejohanan hari ini dengan pemberian RM180,000 Geran Padanan Sukan untuk MTBC meneruskan usaha cemerlang mereka.
“Ini kerana MTBC banyak melahirkan atlet bertaraf antarabangsa dan konsisten menyumbang pingat di peringkat antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial