AM > BERITA

Fahmi Ucap Takziah Kepada Keluarga Marlia Mohamed

20/04/2025 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga wartawan berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Marlia Mohamed yang menghembuskan nafas terakhir pada 5.45 petang hari ini, di kediamannya di Shah Alam, Selangor.

Fahmi menerusi hantaran di Facebook turut mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarham tabah dan sabar berdepan dengan kehilangan itu.

“Hari ini saya menerima perkhabaran duka daripada rakan-rakan di RTM. Wartawan berita RTM, Saudari Marlia Mohamed telah kembali ke rahmatullah petang tadi.

“Allahyarham merupakan penerima Tabung Kasih@HAWANA ketika majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana tahun lepas. 

“Sama-sama kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beramal soleh. Saya ucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga mereka tabah dan sabar berdepan dengan kehilangan ini,” katanya.

Terdahulu, ibu saudara arwah, Sabariah Mohamad ketika dihubungi Bernama memaklumkan keadaan Marlia agak lemah sejak tiga hari lepas.

Allahyarham meninggalkan seorang anak lelaki berusia 16 tahun.

Marlia mula menghidap penyakit diabetes selepas melahirkan anak lelaki tunggalnya dengan kaki kiri terpaksa dipotong hingga bahagian paha berikutan jangkitan kuman pada November 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan