SUKAN > BERITA

TIADA PILIHAN, TFC TEKAD JUANG HABIS-HABISAN BAWA PULANG KEMENANGAN MALAM ESOK

11/04/2025 05:06 PM

KUALA NERUS, 11 April (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) akan berjuang habis-habisan bagi memastikan kemenangan ke atas PDRM FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam esok.

Ketua Jurulatih Badrul Afzan Razali berkata skuad Penyu tiada pilihan selain mengutip enam mata penuh dalam dua perlawanan terakhir musim ini, bagi menamatkan saingan di kelompok empat pasukan terbaik liga.

Beliau percaya anak buahnya akan memberi persembahan terbaik, sekali gus menebus kekecewaan ketika tewas tipis 0-1 di tangan Selangor FC, Sabtu lepas.

“Dua perlawanan ini kita tidak boleh keciciran mata lagi. Jika tidak, peluang untuk naik ke tangga keempat akan tertutup.

“Saya meletakkan sandaran dan harapan penuh kepada barisan pertahanan tempatan untuk mengekang kubu kita dari dibolosi dan lakukan sedikit rombakan pada kesebelasan utama untuk memastikan lebih impak pada perlawanan penting malam esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim mengakui agak kecewa dengan prestasi tidak konsisten skuad Penyu, yang menyebabkan pasukan itu jatuh di tempat kelima liga.

Bagaimanapun, beliau enggan meletakkan kesalahan sepenuhnya di bahu pihak pengurusan,  kejurulatihan atau pemain yang telah berusaha sebaik mungkin.

“Untuk musim ini kita terima apa yang ada…tak boleh nak jangka lebih. Tempat keempat atau kelima cukup baik dan memadai buat masa sekarang.

“Kita terpaksa akui TFC gagal memenuhi Petunjuk Prestasi Indeks (KPI) yang ditetapkan kerana beberapa kekangan. Apa-apa pun, musim depan kita berusaha memperbaiki pelbagai aspek daripada segi pengurusan, pemain, jurulatih dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi.

TFC ketika ini menduduki tangga kelima Liga Super dengan 32 mata di belakang Kuching City FC yang berkelebihan empat mata. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan