SUKAN > BERITA

BAC 2025: SOON HUAT-SHEVON MARA KE SUKU AKHIR

10/04/2025 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat–Shevon Lai Jemie mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, selepas menundukkan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh–Supissara Paewsampran pada pusingan kedua hari ini.

Pasangan pilihan ketiga kejohanan itu tidak berdepan masalah apabila menang straight set 21-17, 21-14 dalam tempoh 39 minit, sekali gus menebus kekecewaan tewas kepada lawan sama di suku akhir Terbuka Switzerland bulan lalu.

Pasangan suami isteri itu dijadual bertemu pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah–Felisha Pasaribu, yang menewaskan gandingan Taiwan, Chen Cheng Kuan–Hsun Yin Hui, 21-9, 21-7 bagi merebut tiket ke separuh akhir esok.

Sementara itu, hasrat satu lagi beregu campuran negara, Yap Roy King–Valeree Siow, untuk mengikut jejak langkah Soon Huat–Shevon tidak kesampaian apabila tunduk kepada pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa–Natsu Saito, 21-6, 21-16.

Turut menerima nasib sama ialah perseorangan lelaki dan wanita negara, Justin Hoh dan Goh Jin Wei, yang tersingkir di pusingan kedua.

Justin tunduk di tangan pemain nombor empat dunia dari Indonesia, Jonatan Christie, 13-21, 19-21 dalam masa 45 minit, manakala Jin Wei tewas kepada pemain Thailand, Supanida Katethong, 15-21, 16-21.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan