SUKAN > BERITA

LEBIH 500 PEMAIN SERTAI SKUASY TERBUKA REMAJA SRAFTKL 2025

09/04/2025 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Lebih 500 pemain muda dari seluruh dunia dijangka bertarung pada Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (SRAFTKL) 2025 dari 15 hingga 20 April ini.

Pengerusi penganjur kejohanan Syed Kebir dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejohanan tambahan dalam Sirkit Remaja Asia itu akan diadakan di Kompleks Skuasy Majlis Sukan Negara di Jalan Duta dan Kompleks Sukan Astaka, Petaling Jaya.

Beliau berkata kejohanan yang julung kali diadakan itu berjaya menarik penyertaan 583 pemain remaja dari 14 negara, menjadikannya antara kejohanan skuasy paling penting di rantau ini.

"Kejohanan ini akan mempertandingkan enam kategori umur untuk lelaki dan perempuan iaitu bawah 9 tahun (U9), bawah 11 tahun (U11), bawah 13 tahun (U13), bawah 15 tahun (U15), bawah 17 tahun (U17) dan bawah 19 tahun (U19).

"Ia akan menjadi platform untuk bakat muda menunjukkan kemahiran mereka dalam persekitaran yang sangat kompetitif dan kami teruja untuk melihat masa depan skuasy Malaysia berkembang," katanya.

Kejohanan ini turut mendapat sokongan daripada Kumpulan Touch 'n Go, yang terdiri daripada Touch 'n Go Sdn Bhd dan TNG Digital Sdn Bhd, yang memberikan komitmen besar dengan menjadi rakan kongsi korporat rasmi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Sdn Bhd Praba Sangarajoo dalam kenyataan sama berharap kerjasama ini dapat membantu membangunkan nilai-nilai tambah seperti disiplin, ketahanan dan kecemerlangan dengan memberi peluang kepada bakat muda untuk menjadi individu serba boleh, mampu bersaing di peringkat tertinggi dan membawa kebanggaan kepada Malaysia di pentas dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan