POLITIK > BERITA

PRN SABAH: KERJASAMA PH-BN DEMI MASA DEPAN LEBIH BAIK - BUNG MOKTAR

15/05/2025 09:49 PM

KOTA KINABALU, 9 Mei (Bernama) -- Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang adalah untuk membina masa depan Sabah yang lebih baik, melangkaui matlamat memenangi pilihan raya semata-mata.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata sehubungan itu, rundingan terperinci akan diadakan antara kepimpinan kedua-dua parti di peringkat negeri, termasuk perbincangan mengenai pengagihan kerusi dan pendekatan bersama parti-parti lain yang sehaluan untuk menghadapi PRN nanti.

“Kita akui, realiti politik hari ini menuntut kematangan dan keikhlasan dalam membina kestabilan. Demi masa depan negeri, kita memilih untuk berganding bahu bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk membina Sabah yang lebih baik dan terurus.

“Kami menghormati proses ini dan akan memastikan setiap keputusan dimuktamadkan dengan semangat muafakat, seperti yang ditetapkan oleh kepimpinan tertinggi di peringkat kebangsaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hari ini Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan bersama berkata PH dan BN bersetuju untuk bekerjasama bagi menghadapi PRN Sabah akan datang, termasuk soal pengagihan kerusi dan perundingan dengan mana-mana parti lain yang akan diperincikan bersama antara kepimpinan PH dengan BN Sabah.

Sehubungan itu Bung Moktar, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata BN Sabah akan menggerakkan jentera parti dari peringkat negeri hingga akar umbi dengan komitmen penuh untuk menghadapi PRN itu sebagai pasukan yang bersatu.

"Kita bukan sahaja mahu menang tetapi kita mahu menang dengan maruah dan mandat rakyat yang tulen," katanya sambil menekankan kepentingan kestabilan politik untuk pembangunan negeri Sabah.

Beliau berkata parti berkenaan telah mengambil pengajaran dari pengalaman lepas dan kini bersedia untuk membina masa depan bersama demi kepentingan rakyat Sabah.

 --BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan