POLITIK > BERITA

KHIDMAT NURUL IZZAH SEBAGAI 'PANGLIMA PERANG' PKR HADAPI PRU16 DIPERLUKAN - RAMANAN

12/05/2025 07:23 PM

IPOH, 12 Mei (Bernama) -- Sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti bagi sesi 2025-2028 penting sebagai persediaan mengukuhkan parti ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). 

Timbalan Ketua Penerangan PKR 1 Datuk Seri R Ramanan berkata khidmat Nurul Izzah sebagai 'panglima perang' diperlukan berdasarkan rekod parti yang berjaya merebut banyak kerusi semasa PRU14 ketika bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR.

“Kita memerlukan beliau sebagai Pengarah Pilihan Raya pada PRU akan datang untuk menggunakan formula yang pernah digunakan pada PRU14, menyaksikan parti telah memenangi 47 kerusi. 

"Kerusi paling banyak kami telah menang adalah semasa saudari Nurul Izzah menjadi Pengarah Pilihan Raya, jadi prestasi beliau telah terbukti berdasarkan rekod terdahulu.

"Kalau kali ini saudari Nurul Izzah (menjadi) Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihan Raya, saya ingat mungkin 70 kerusi Parlimen pun boleh (menang) atau 80 kerusi boleh,” katanya pada sidang media Pertemuan Khas Ketua Cabang Bersama Ramanan Ramakrishnan di sini hari ini.

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata sokongan kepada Nurul Izzah telah diterjemahkan menerusi pertemuan bersama ketua cabang Perak apabila 22 daripada 24 pemimpin hadir pada majlis tersebut.

Selain itu, Ramanan yang juga Calon Naib Presiden PKR pada pemilihan kali ini berkata sokongan masyarakat India terhadap PKR semakin positif berikutan penyertaan komuniti tersebut melalui pembabitan mereka dalam pilihan raya sebelum ini.

Beliau berkata perkembangan itu disebabkan usaha kerajaan MADANI menyediakan pelbagai program membabitkan masyarakat India dengan peruntukan terbesar dalam sejarah negara.

"Hampir lebih RM400 juta kita keluarkan untuk program inisiatif bagi komuniti India yang sebelum ini hanya ada RM100 juta saja untuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA)," katanya.

Menurut Ramanan, antara program berkenaan ialah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan Bank Rakyat Indian Entreprenuer Financing-i (BRIEF-i). 

Selain Ramanan, 11 pemimpin turut mengemukakan pencalonan untuk jawatan Naib Presiden termasuk empat penyandang iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Angkatan Muda Keadlan (AMK) dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, manakala 23 Mei ditetapkan sebagai hari pengundian.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan