JEMPOL, 1 Mei (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata belum masanya untuk menentukan calon 'poster boy' bagi mana-mana negeri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) diumumkan.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata hasil perjumpaan dengan kepimpinan UMNO Sabah semalam, beliau telah memberikan garis panduan untuk parti di negeri berkenaan menghadapi PRN.
"Saya fikir eloklah jika soal pemilihan Menteri Besar atau Ketua Menteri kita kemudiankan... pastikan kemenangan calon yang akan diketengah.
"Saya sendiri akan berunding dengan kepimpinan UMNO Sabah bagi menentukan siapa yang boleh diterima oleh Ahli Dewan Undangan Negeri dan siapa yang boleh mengetuai kerajaan negeri apabila jumlah kerusi diperoleh paling banyak oleh mana-mana kumpulan parti di Sabah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas menghadiri Majlis Lembaran Kasih Aidilfitri Bersama Warga Felda di Padang Awam Palong 3 yang turut dihadiri anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz dan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir yang mencadangkan Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebagai 'poster boy' BN pada PRN nanti.
Ahmad Zahid juga berkata beliau menghormati keputusan itu tetapi menyifatkan belum masanya untuk mengetengahkan mana-mana individu atau pemimpin sebagai 'poster boy'.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial