SANDAKAN, 19 April (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengadakan perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) berhubung kerjasama antara kedua-dua gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata bagaimanapun tarikh bagi perbincangan itu masih belum ditentukan setakat ini.
“Kita dalam kerajaan sekarang, insya-Allah dalam masa terdekat kita akan mengadakan perbincangan dengan PH,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sungai Sibuga 2025 di Dewan Serbaguna Sri Libaran di sini hari ini.
Pada akhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Khamis lepas, Ketua Menteri Sabah itu membayangkan bahawa GRS akan mengekalkan kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN akan datang, walaupun BN Sabah turut mengumumkan akan bekerjasama dengan PH.
Hajiji menegaskan sebarang keputusan berkaitan kerjasama dalam pilihan raya akan ditentukan oleh parti atau gabungan yang menerajui kerajaan sedia ada.
“Kerajaan negeri adalah GRS-PH Plus, ini jelas tapi dalam politik kita cari satu kebaikan yang boleh menyatupadukan rakyat, kita mahu ada kestabilan politik di Sabah.
“Walau bagaimanapun pintu kita tidak tutup untuk mereka yang mahu bekerjasama dengan kita. Tapi perlu diingat bahawa kerajaan hari ini adalah GRS-PH Plus, jadi kita yang tentukan siapa rakan kita dalam pilihan raya nanti," katanya.
Parti komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial