POLITIK > BERITA

PRK AYER KUNING: CALON BN SUDAH LETAK JAWATAN DI IPG - SAARANI

10/04/2025 02:47 PM

TAPAH, 10 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning Dr Mohamad Yusri Bakir, telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, minggu ini.

Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Mohamad Yusri telah menyerahkan surat peletakan jawatan pada awal minggu ini dan kini sedang menunggu surat pelepasan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“(Beliau) sudah meletak jawatan dan kini sedang menunggu surat pelepasan daripada JPA,” kata Saarani yang juga Menteri Besar Perak kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Keibubapaan Murid Orang Asli anjuran Yayasan Perak di Sekolah Menengah Sains Tapah, di sini hari ini.

Saarani menjelaskan bahawa pemilihan Mohamad Yusri sebagai calon BN dibuat berdasarkan kemampuan serta kewibawaannya untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Jadi, kita berharap pengundi di Ayer Kuning akan membuat pilihan secara rasional dengan memilih calon BN sebagai wakil rakyat daripada pihak kerajaan. Namun, saya yakin pengundi Ayer Kuning cukup bijaksana untuk memilih calon yang benar-benar mampu berkhidmat untuk mereka,” katanya.

Selain BN, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Pengerusi PN Tapah Abdul Muhaimin Malek, 44, sebagai calon gabungan itu, manakala Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengekalkan Timbalan Setiausaha Agungnya Bawani KS, 40, sebagai calon pada PRK berkenaan.

PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 25 Feb lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, dengan hari penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan